Sorting by

×

ANGKAT KEUNIKAN SENI TULISAN TANGAN DI MUZIUM SASTERA

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BANDA HILIR 9 April – Tulisan tangan pengarang atau penulis dicadang untuk diletakkan bersama setiap buku dan karya asli yang dipamerkan di Muzium Sastera yang terletak di Jalan Kota, di sini.

Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Salleh berkata, ini kerana setiap tulisan daripada penulis mempunyai kelainan dan menunjukkan keunikan tersendiri.

Jelas beliau, Muzium Sastera adalah satu tempat yang boleh hebahkan sesuatu kejayaan akal fikiran, budaya dan tulisan, untuk itu Muzium Melaka telah menjalankan tugas dengan baik dalam berkongsi perkara berkaitan sastera kepada umum.

“Ini adalah tempat yang amat baik tetapi boleh lagi melakukan penambahbaikan dengan menambah beberapa lagi rujukan termasuk manuskrip untuk dipamerkan kepada pengunjung.

“Malah saya cadangkan juga sekiranya boleh untuk dapatkan tulisan pengarang dan kemudian diletakkan di sebelah buku jadi kita boleh perlihatkan tulisan tangan mereka.

“Selain melihat karya yang sudah siap dicetak pengunjung boleh melihat kelainan dan keunikan setiap orang yang menulis kerana di Eropah misalnya orang suka melihat tulisan tangan ini,” katanya.

Menurut Sasterawan Negara itu, sastera lisan juga perlu diberi perhatian kerana pada masa ini ia hampir lenyap selepas masuk ke era percetakan pada kurun ke-19.

Jelas beliau, namun situasi itu boleh diselamatkan sekiranya ada yang masih berminat dan bersedia mempelajari serta mendalami sastera lisan ini.

“Sastera lisan antara satu kejayaan besar kita suatu masa dahulu tetapi sekarang hampir dilenyapkan, tidak ramai yang pandang sastera lisan ini.

“Apabila masuk percetakan ia mengambil alih tugas tukang cerita kerana ia (buku) boleh dibaca di mana-mana sahaja. Tetapi kita perlu cari jalan untuk kembalikan misalnya menerusi tukang cerita antara negeri seperti dari Pulau Pinang ke Melaka atau sebaliknya.

“Menerusi ini orang atau masyarakat tidak akan lupa bahawa kita ada budaya lisan yang sangat dinamik selain untuk bercerita ia bukan tugas mudah kerana perlu memiliki kriteria seperti idea dan kepintaran,” katanya.

Beliau berkata, adalah rugi sekiranya bidang sastera ini tiada pelapisnya kerana ia mempunyai pelbagai tarikan seperti kepintaran, rima, penulisan, pantun dan banyak lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

418
Kongsi :
Previous post MPJ LUPUS PAPAN TANDA USANG, GIAT INDAHKAN JASIN
Next post HARGA SANTAN DI MELAKA TIDAK LEBIH RM17 SEKILOGRAM