Sorting by

×

ANGKAT KEUNIKAN MAKANAN WARISAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

BANDA HILIR 28 Disember – Festival Masakan Warisan Melaka 2024 berlangsung meriah apabila pengunjung ‘dihidangkan’ pelbagai juadah dan kuih-muih tradisional.

Bertempat di perkarangan Muzium Rakyat, di sini, festival selama dua hari yang berlangsung hari ini dan esok, mengetengahkan elemen warisan dan tradisional.

Selain terdapat pembabitan daripada agensi dan persatuan kebudayaan turut menyertai Festival Masakan Warisan Melaka 2024 adalah institusi pengajian tinggi (IPT).

Bagi wakil Seni Kebudayaan Baba Nyonya Negeri Melaka, Baba Robert berkata, festival makanan tersebut adalah platform terbaik bagi memperkenalkan makanan warisan dan tradisonal yang terdapat di Malaysia khususnya Melaka yang mempunyai pelbagai etnik.

Img 20241228 Wa0024
BABA Robert bersama hidangan masyarakat Baba Nyonya.

“Kalau tidak silap, ini tahun kelima kami menyertai festival makanan yang dianjurkan dan menariknya pelancong luar negara amat menyukai masakan Baba Nyonya.

“Untuk dua hari ini kami menyediakan menu hidangan berbeza untuk dihidangkan kepada pengunjung antara masakan Itik Tim, Ayam Cili Garam, Kuih Genggang, Ayam Pongteh dan Chap Chai.

“Setiap pengunjung yang datang dan rasa hidangan kami ini, mereka memberi bermacam pendapat malah kita juga sediakan juga resipi khas untuk mereka yang ingin mencuba memasak di sendiri,” katanya ketika ditemui di khemah Baba Nyonya bersempena Festival Masakan Warisan Melaka 2024, hari ini.

Img 20241228 Wa0023
JASMINE Pillay menghidangkan masakan masyarakat Chetti.

Sementara itu, bagi wakil persatuan penduduk Kampung Chetti, Jasmine Pillay berkata, penganjuran festival itu secara tidak langsung dapat memastikan masakan dan makanan warisan diperkenalkan kepada semua lapisan masyarakat dan generasi.

“Dengan adanya festival ini pengunjung yang datang dapat mengenali dan mengetahui dengan lebih dekat tentang makanan setiap etnik yang ada di Melaka, misalnya bagi masyarakat Chetti masakan ikan pindang, kuih kayam serta sambal timun adalah makanan tradisi kami.

“Apabila mereka ini pula pergi ke khemah masyarakat Bugis dan Orang Asli mereka berpeluang pula mengetahui hidangan istimewa kaum itu, jadi sebab itulah festival masakan warisan ini patut dikunjungi kerana sambil menikmati juadah, pengetahuan juga dapat ditambah,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah berkata, objektif penganjuran Festival Masakan Warisan Melaka 2024 adalah bertujuan untuk memastikan masakan dan makanan warisan Melaka tidak dilupakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

600
Kongsi :
Previous post LEBIH 1,400 KEMATIAN AKIBAT KEMALANGAN BABIT LORI DALAM TEMPOH 6 TAHUN
Next post BAWA PRODUK IKONIK PULAU PINANG KE MELAKA
Ubah saiz-+=