Angkat e-sukan dalam kokurikulum sekolah
GADEK 30 Jun – Acara sukan elektronik (e-sukan) sewajarnya dimasukkan di dalam kokurikulum sekolah bagi memastikan pembangunan sukan itu dapat diperkasa dari peringkat awal lagi.
Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam berpendapat, perkara itu sebagai satu perkara positif untuk dilaksanakan di negeri ini.
Menurutnya, pembangunan e-sukan itu sepatutnya sudah lama diangkat di peringkat sekolah dalam melahirkan atlet yang mampu menempa nama ke persada antarabangsa.
“Apa yang dikatakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh itu memang tepat pada masanya dan ia perlu dijadikan sebagai antara aktiviti kokurikulum di sekolah.
“Kadangkala kita melihat kekangan aktiviti kokurikulum ini terbatas disebabkan keadaan cuaca dan sebagainya jadi e-sukan ini merupakan satu bidang yang sepatutnya diterokai kerana ini adalah kejohanan sukan masa depan.
“Jika kerajaan pusat mahu melaksanakan perkara ini saya juga rasakan ia perlu menyeluruh dan tidak perlu memilih sekolah kerana semua sekolah layak mendapat peluang ini khususnya dalam kawasan luar bandar kerana orang kampung juga layak mengetahui dan didedahkan dengan apa e-sukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Baru-baru ini media melaporkan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang memperhalusi langkah memperkenalkan e-sukan sebagai antara aktiviti sukan di peringkat sekolah.
Menterinya, Hannah Yeoh dipetik berkata, perkara itu bagaimanapun masih di peringkat awal dengan mengambil kira keperluan serta cara memperkembangkan potensi e-sukan secara meluas.
Katanya, penyenaraian e-sukan sebagai satu sukan merupakan pengiktirafan penting bagaimanapun pihaknya tidak boleh pastikan sukan ini boleh masuk di semua sekolah kerana bukan semua sekolah merupakan juara dalam sukan berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.