ANGKASA perkasa jihad basmi ‘orang tengah’

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

PANTAI KUNDOR 29 Ogos – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) akan memperkasa kembali jihad membasmi peranan orang tengah menerusi koperasi yang berdaftar dengan badan itu.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, idealisme itu antara yang pernah diperjuangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu menjawat jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) suatu ketika dahulu.

ABDUL Fattah.

“Kalau masih ingat antara strategi atau idealisme yang diperjuangkan Datuk Seri Ismail Sabri dahulu ialah menggunakan platform koperasi untuk kurangkan peranan orang tengah.

“Kenapa barangan harian hari ini semakin mahal? Kerana ia melibatkan kartel-kartel atau orang tengah inilah.

“Jadi, selepas beliau dilantik sebagai perdana menteri, kita rancang untuk teruskan serta perkasakan agenda tersebut supaya koperasi dapat jadi platform wujudkan kesejahteraan dan membolehkan ahli-ahlinya menerima manfaat dan seterusnya mengawal kenaikan harga barangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis Sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ANGKASA Prihatin COVID-19 kepada 50 penerima asnaf di Koperasi Perubatan Islam Darul Ansar Melaka Berhad, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, antara strategi dirangka ANGKASA untuk membasmi peranan orang tengah ialah dengan mewujudkan 3,000 outlet di bawah program Pembekalan Barangan Asas 100 (BA100) menjelang hujung tahun ini.

Katanya, menerusi strategi itu, segala pembekalan barangan keperluan asas akan dibuat melalui platform digital yang mana ia dapat mengawal rangkaian bekalan daripada dimonopoli ejen tertentu.

“Setakat ini kita sudah ada 1,800 outlet yang berdaftar dan Insya-Allah menjelang hujung tahun kita sasarkan akan ada 3,000 outlet berdaftar dengan program BA100 ini.

“Jadi, menerusi outlet tersebut, kita sudah tidak perlukan orang tengah kerana ia (outlet) akan terus kepada pembekal menerusi platform digital yang mana kita (ANGKASA) akan bertindak sebagai pembekal barangan asas dan barangan keperluan itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut mengenal pasti 6,000 masjid di seluruh negara yang berpotensi diwujudkan koperasi.

Ia bagi membolehkan koperasi masjid menjadi platform menjana pendapatan dan pada masa sama dapat memudahkan orang ramai untuk datang dan membeli barangan keperluan, selain mengimarahkan Rumah Allah itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

439
Kongsi :
Previous post Juara dua kali karang sajak kongsi resepi
Next post Percepat vaksinasi peniaga di Jasin
Ubah saiz-+=