Angkara cemburu, bekas kekasih buat kecoh
Ayer Keroh 7 Februari – Bengang bekas teman wanitanya keluar dengan kekasih baharu, seorang lelaki dipercayai bertindak mencetuskan kekacauan sehingga berlaku pergaduhan dalam kejadian di sebuah pusat hiburan, awal pagi Ahad lalu.
Kejadian kira-kira jam 3.20 pagi itu, mengakibatkan beberapa individu termasuk bekas teman wanitanya yang berusia 23 tahun itu cedera.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila wanita terbabit enggan bercakap dengan suspek yang ketika itu didakwa sedang mabuk.
“Suspek yang tidak berpuas hati dan marah dengan penolakan itu dipercayai menolak kawan-kawan lelaki wanita terbabit seramai empat orang sehingga berlaku pergaduhan.
“Pergaduhan pukul-memukul yang menggunakan kerusi dan botol kaca itu turut membabitkan ramai orang dan akibat daripada tindakan itu bekas teman wanita suspek terjatuh manakala rakan-rakannya mendapat kecederaan seperti luka di badan, tangan dan hidung,” katanya.
Menurut beliau, susulan daripada itu suspek yang berusia 23 tahun berkenaan kemudian ditahan kira-kira jam 7 pagi, hari sama, di tepi jalan Kota Melaka.
“Selain itu, polis turut mengesan enam lagi suspek lain berusia antara 23 hingga 32 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian pergaduhan tersebut selain kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.