Angin barat bantu pulih hakisan pantai
KUALA LINGGI 15 Nov. – “Syukur alhamdulillah, angin barat sudah masuk menggantikan angin selatan dan insyaAllah hakisan pantai sejak lima bulan lalu akan beransur-ansur pulih.
“Angin selatan yang membentuk ombak besar menyebabkan hakisan pantai serius sejak hujung Jun lalu tetapi sejak dua minggu lalu, angin barat sudah menggantikan angin selatan dan ini bermakna, hakisan pantai semakin pulih,” kata nelayan Mohd Reza Sedek, 47.
Selepas lima bulan dibelenggu masalah hakisan pantai yang disebabkan angin dan ombak selatan, nelayan di perairan Melaka Barat, di sini mula menarik nafas lega berikutan hakisan semakin pulih.
Perubahan angin selatan kepada angin barat sejak dua minggu lalu melegakan mereka kerana tiada lagi ombak selatan yang mengorek pasir pantai hingga menyebabkan pondok nelayan hampir roboh dan puluhan pokok rebah ke arah laut.
Mereka bersyukur kerana angin barat membawa pasir dari tengah laut ke gigi pantai, sekali gus menjadikan pantai yang terhakis, kembali landai dan memudahkan nelayan menurunkan perahu ke laut.
Mohd Reza berkata, sejak hujung Jun lalu hingga awal bulan ini, ombak selatan menyebabkan pasir pantai terhakis teruk hingga menyebabkan puluhan pokok menyembam bumi.
“Pondok nelayan kami ada yang sudah roboh dan sisa yang masih ada, tidak mampu bertahan lama, manakala pokok yang sebelum ini membantu merimbunkan pondok perahu, sudah banyak yang tumbang.
“Ia bukan setakat menyebabkan kami kerugian, malah kami terpaksa menganjakkan perahu jauh dari gigi pantai bagi mengelakkannya dihanyutkan ombak besar yang mengakibatkan hakisan bertambah teruk,” katanya di pangkalan nelayan Kampung Telok Gong, Kuala Sungai Baru dekat sini hari ini.
Mohd Reza menjelaskan, angin barat yang lazimnya bertiup dari November hingga awal Januari setiap tahun, mengorek pasir di tengah laut sebelum ‘dibuang’ ke gigi pantai, sekali gus membantu melandaikan semula pantai.
Katanya, keadaan itu membantu nelayan membina semula pondok perahu, selain memudahkan mereka menolak perahu ke gigi pantai berbanding terpaksa menghadapi kesukaran akibat tebing tinggi yang terbentuk daripada hakisan.
Mohd Affendi Shahat, 48, berkata angin barat yang semakin kerap bertiup melegakannya kerana ia mampu menjalankan ‘kerja pembaikan’ pantai secara semula jadi.
“Bukan semua angin menyebabkan hakisan pantai, hanya angin selatan yang menghasilkan ombak bersifat mengorek pasir pantai dan menyebabkan hakisan serius sejak awal Julai lalu hingga awal bulan ini.
Beliau berkata, lima nelayan di pangkalan itu bercadang membina semula pondok perahu melalui kerja gotong-royong tidak lama lagi selepas angin barat membawa lebih banyak pasir dari tengah laut ke gigi pantai.
Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) segera membina benteng pemecah ombak bagi membantu mengelakkan hakisan memusnahkan Pantai Telok Gong.