Anggota wanita APM kental walau tanggung derita kanser tahap 4
AYER KEROH 25 Mac – Biarpun menghidap kanser kolorektal tahap empat, seorang anggota wanita Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di negeri ini, Leftenan Muda (PA) Hanis Farahana Mohamad Zaki tetap kental meneruskan khidmat baktinya kepada masyarakat.
Hanis Farahana, 27, yang kini sedang bercuti selama setahun bagi menjalani rawatan kemoterapi di Perak, tetap bersemangat meneruskan tugas biarpun menanggung sakit kronik itu sejak setahun lalu.
Penuntut tahun akhir Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Chemical and Bioengineering Technology (UniKL MICET) di Alor Gajah itu berkata, dia kehilangan berat badan hampir 20 kilogram sejak menghidap penyakit tersebut.
“Penyakit ini kejap ada, kejap tiada dan satu ketika tekanan darah dan berat badan saya turun mendadak.
“Saya kemudian balik ke kampung di Taiping, Perak dan menjalani ujian di hospital dan disahkan menghidap kanser kolorektal tahap empat yang merebak ke hati dan paru-paru.
“Sehingga kini saya sudah menjalani rawatan kimoterapi selama 10 kali dan Alhamdulillah, kanser di usus dan hati sudah sembuh,” katanya.
Hanis Farahana antara 40 pegawai dan anggota APM negeri yang dianugerahkan pingat serta sijil penghargaan sempena sambutan Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) ke-70 di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini semalam.
Pengarah APM Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra menyempurnakan penyampaian pingat dan sijil kepada pegawai serta anggota terlibat
Menceritakan tentang permulaan cintanya pada APM, katanya, segalanya bermula ketika dia mula aktif dalam Kor Siswa-siswi Pertahanan Awam (SISPA) sejak 2013 dan kemudian ditauliahkan pangkat Leftenan Muda Universiti Sains Malaysia.
Hanis Farahana juga tetap mampu menyerlahkan keceriaan pada wajahnya walaupun perlu menjalani sebanyak 12 kali kimoterapi.
“Selepas sudah kimo 10 kali, saya agak susah nak aktif balik kerana sekarang ini saya terpaksa membuang najis menggunakan beg selain cepat letih.
“Tetapi segala kesukaran dan kesakitan ini tidak akan menghalang saya untuk terus berkhidmat sebagai anggota APM dan berbakti kepada masyarakat,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.