Anggota tentera hilang 41 hari ditemui selamat
AYER KEROH 5 Ogos – Anggota tentera yang dilaporkan hilang sejak 24 jam lalu ditemui selamat di sebuah restoran di Semabok, malam tadi.
Prebet Muhammad Fakrullah Nazri, 21, bagaimanapun ditemui ahli keluarganya dalam keadaan tidak terurus selepas 41 hari hilang.
Menurut bapanya, Nazri Abd Rahim, 48 berkata, ketika ditemui, anak kedua dari tiga beradik itu kelihatan terkejut sebelum menangis.
“Ketika ditemui abangnya, Muhammad Aikal kira-kira jam 7 malam tadi, dia terperanjat sebelum menangis dan mengatakan seolah-olah berat untuknya cuba pulang ke rumah.
“Kami sekeluarga tidak pasti apa yang berlaku, namun bersyukur dia selamat dan dalam keadaan sihat sebelum memaklumkan kepada pegawainya di Kem Terendak,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Nazri berkata, dia dimaklumkan anaknya hanya makan di kedai, selain tidur di beberapa premis termasuk hotel bajet sepanjang tempoh kehilangannya.
Malah, dia juga percaya anaknya itu tidak mempunyai masalah bersama keluarga, kewangan atau dibuli.
“Sampai sekarang kami masih tidak tahu punca sebenarnya, mungkin ia ada kaitan dengan apa yang berlaku sewaktu dia bertugas di pintu sempadan negara di Thailand pada September tahun lalu menyebabkan sikapnya berubah,” katanya.
Dia bagaimanapun merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), media dan orang ramai yang banyak membantu dalam menyalurkan maklumat mengenai kehilangan anaknya itu.
Sebelum ini, media melaporkan, Prebet Muhammad Fakrullah hilang pada 24 Jun lalu selepas keluar dari rumah untuk melapor diri bertugas di Kem Terendak, Sungai Udang.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit dalam satu kenyataan meminta bantuan orang ramai membantu mengesan anggota tentera itu yang dilaporkan menaiki motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna hijau dengan nombor pendaftaran MBR7230.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.