Anggota polis cedera bergelut dengan penjenayah
ALOR SETAR 8 Nov – Seorang anggota polis cedera di kaki kiri akibat digilis kereta dipandu tokan dadah dan tangan kanannya luka ketika cuba ditikam semasa bergelut dengan lelaki itu dalam kejadian di tepi jalan Kampung Baru Tepi Laut, Kuala Sanglang Air Hitam dekat Kubang Pasu semalam.
Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata dalam kejadian 6.35 petang itu, sepasukan anggota polis daripada bahagian narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah menghampiri sebuah kereta jenis Proton Saga yang berhenti di tepi jalan itu dalam keadaan mencurigakan.
“Menyedari kehadiran polis, suspek bertindak melarikan diri dan pada masa sama tayar keretanya telah terkena kaki kiri seorang anggota polis serta melanggar dua kenderaan dinaiki pihak polis.
“Polis kemudian terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri menyebabkan kereta suspek terbabas ke dalam kawasan bendang berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kamarul Zaman berkata semasa tangkapan dijalankan berlaku pergelutan dan suspek telah mengeluarkan sebilah pisau dan menikam ke arah seorang anggota polis menyebabkan kecederaan pada jari tengah tangan kanan anggota itu.
Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas suspek yang berumur 38 tahun dan bekerja sebagai nelayan serta mempunyai 10 rekod lampau berkaitan dadah itu, telah menjumpai tiga peket plastik lut sinar berisi bahan yang disyaki dadah jenis syabu seberat lebih kurang 54.50 gram.
Kamarul Zaman berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana cubaan membunuh dan memiliki senjata berbahaya/berjadual di bawah Seksyen 7 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) atas kesalahan mengedar dadah.
“Suspek itu kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah hingga 14 Nov ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Rodzi Abu Hassan berkata anggota polis yang cedera itu dibawa ke Hospital Jitra sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk rawatan lanjut.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.