Anggota bomba terperangkap banjir kritikal
BATU BERENDAM 20 Okt – Anggota bomba berusia 46 tahun yang nyaris lemas selepas terperangkap dalam arus deras dalam kejadian di Kampung Sungai Putat petang tadi masih kritikal.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dipercayai tidak sedarkan diri selepas dibawa arus deras ketika menyelamatkan mangsa banjir di kawasan berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Abu Bakar Katain berkata, ketika kejadian, anggota bomba lelaki terbabit dipercayai memasang tali bersama rakan sepasukan untuk menyelamatkan mangsa banjir di kawasan berkenaan.
Katanya, ketika kejadian arus sungai terlalu deras mengakibatkan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum badannya tersembam ke dalam air.
“Pasukan bomba yang berada di lokasi kejadian mengambil masa kira-kira tiga minit untuk membawa mangsa naik ke kawasan selamat sebelum pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memberikan rawatan awal.
“Anggota bomba berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini, mangsa masih menerima rawatan di Jabatan Kecemasan hospital berkenaan.
“Bagaimanapun keadaan anggota berkenaan dilaporkan berada dalam kritikal dan masih ditempatkan di jabatan kecemasan hospital terbabit,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.