Sorting by

×

Anak yatim teruja pertama kali tonton wayang di pawagam

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

BANDARAYA MELAKA 19 Feb – “Sejak lahir inilah kali pertama berpeluang dapat tengok wayang, perasan memang teruja bila dapat menonton filem bersama rakan-rakan.

Itu perasaan yang dapat dikongsikan Siti Nursiah Ibrahim, 17, antara 63 penghuni Rumah Lembaga Pengurusan & Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Islam (PAYASUM) yang dibawa menonton wayang di Elements Mall, di sini hari ini.

Dia mengakui teruja apabila dimaklumkan gurunya bahawa ada pihak mahu membawanya dan rakan-rakan untuk menonton sebuah filem di pawagam.

“Rasa gembira sangat dan perasaan gemuruh pun ada juga bila pertama kali melangkah ke dalam wayang.

“Saya dapat merasa kelainannya berbanding menonton televisyen di rumah ditambah suasana yang sejuk membuatkan kami semua seronok pada hari ini,” katanya kepada pemberita.

63 penghuni PAYASUM bergambar bersama selepas diberi peluang menonton wayang di Elements Mall, pagi tadi

Nada sama turut disuarakan Muhammad Adam Firdaus Abdullah, 12 yang juga pertama kali menjejakkan kakinya ke panggung wayang.

Katanya dia berharap ada pihak yang sudi memberi peluang kepada dia dan rakan-rakannya pada masa akan datang.

“Kalau di sekolah pun kami tengok ‘wayang pacak’ saja tapi kali ini dapat merasai pengalaman sebenar dan ia begitu seronok sekali,” katanya.

Terdahulu, program yang diadakan itu merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan pihak Elements Mall.

Pegawai Pemasaran Komunikasi Elements Mall Daniel Kwan Siew Kit berkata, acara diadakan itu sekali gus memberi peluang anak yatim dan golongan kurang kemampuan menikmati hiburan dan pengalaman seperti insan lain yang berkemampuan.

DANIAL

“Kita melihat mereka tidak pernah menonton wayang lebih dua tahun lalu sejak COVID-19 melanda negara dan inisiatif ini diambil bagi memberi peluang kepada anak-anak sekolah ini.

“Elements Mall akan sentiasa peka dan prihatin dalam program CSR yang diasakan bagi membantu golongan memerlukan pada masa akan datang.

Pada masa sama, Guru pengiring dalam kunjungan sekolah itu, Siti Rakhiyah Mohd Ihsan, bersyukur dengan peluang yang diberikan dan berharap ia mampu diteruskan pada masa akan datang.

“Alhamdulillah terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam menjayakan program seperti ini.

“Saya terharu apabila melihat anak-anak ini begitu teruja sebaik dimaklumkan sehingga ada yang sering bertanya setiap masa bilakah akan pergi menonton wayang sejak tiga hari lalu.

“Hari ini kami dapat tunaikan permintaan mereka dan sekali gus dapatlah kami merasai pengalaman untuk keluar sebentar melakukan lawatan seperti ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1526
Kongsi :
Previous post Proaktif pacu kembali pelancongan golf – MITA
Next post Op TBC: Geng pecah rumah, kongsi gelap antara 65 dicekup di Melaka
Ubah saiz-+=