Anak yatim dan anak asnaf ceria pilih pakaian raya
AYER KEROH 3 Mei. – Kira-kira 10 hari menjelang Aidilfitri, masing-masing sembilan anak yatim dan asnaf ceria dibawa membeli baju raya di sebuah kompleks beli-belah, di sini hari ini.
Tambah menggembirakan mereka diberi kebebasan untuk memilih pakaian kegemaran, sekali gus menikmati kepuasan ketika membeli-belah.
Usaha menceriakan anak yatim dari Duyong, Bukit Bayan dan Paya Dalam itu dilakukan lima anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Unit Amal Traders (UAT) yang prihatin terhadap nasib golongan B40.
Pengasas UAT Muhammad Siratal Mustaqim Hamzah, 36, berkata anggota UAT mencari rezeki dengan melabur dalam pelbagai pasaran saham termasuk New York Stock Exchange, Singapore Exchange Limited dan Hong Kong Stock Exchange serta beberapa pasaran saham di Eropah.
“Hasil daripada pelaburan itu kami kembalikan kepada anak yatim dan golongan asnaf,” katanya ketika ditemui di kompleks beli-belah itu.
Sementara itu, ibu kepada lima anak Norshida Mohd Badly, 47, berkata, dia terhutang budi kepada UAT kerana memberi peluang kepada anak-anaknya untuk memilih pakaian masing-masing.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan kesudian UAT membantu menyediakan pakaian baharu untuk anak-anak menyambut Aidilfitri dengan ceria.
“Sejak pemergian arwah suami beberapa tahun lalu, saya terpaksa menyediakan segala perbelanjaan menyambut Aidilfitri sendirian dan ia bukan tugas yang mudah,” katanya.
Norshida ditemui ketika menemani lima anaknya, Siti Nur Zulaika Suhaimi, 17, Muhammad Salman, 16, Muhammad Shahruhan, 12, Muhammad Ameerhan, 10 dan Muhammad Saifullah, 6, memilih pakaian.
Sementara itu, Norhafiza Dol, 46, berkata, anak-anaknya Nurul Zulaika Sukar, 16, Muhammad Al Hakimi, 15, Nurul Nur Khairina, 9 dan Nur Hanisah Sofia, 4, amat teruja menanti untuk dibawa membeli-belah sejak dimaklumkan berita gembira itu minggu lalu.
“Segala budi baik anggota UAT amat saya sanjung tinggi dan saya berdoa agar Allah memberikan keberkatan kepada mereka seisi keluarga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.