Anak tunggu ayah…yang tiba hanya van jenazah
KRUBONG 9 Sept – Hanya tangisan dan ratapan mengiringi pemergian Md Isa Mohd Noor, bapa enam anak yang jenazahnya dibawa pulang buat kali terakhir menaiki van jenazah, Isnin lalu.
Allahyarham Md Isa, 43, meninggal dunia pada 6 September lalu di Hospital Melaka akibat COVID-19.
Detik hiba itu tular dalam satu rakaman video yang memperlihatkan isteri dan anak-anaknya hanya mampu meraung tanpa dapat menatap wajah suami dan bapa penyayang itu sebaik van jenazah melalui hadapan rumahnya di Taman Krubong Jaya.
Paling terkesan ialah anak keduanya, Danisha Zara, 10, yang merupakan anak paling rapat dengan arwah.
Ketika ditemui di rumahnya, hari ini, Danisha Zara berkata, pada ketika itu, hanya pesanan terakhir arwah bapanya masih terngiang-ngiang di telinga.
“Sewaktu di hospital ayah berpesan suruh jaga ibu dan adik-adik dan belajar rajin-rajin di sekolah.
“Ayah kata ayah akan balik rumah, tapi dia tidak pulang buat selama-lamanya.
“Kata-kata itu masih dalam ingatan menyebabkan saya sukar mengawal perasaan,” katanya.
Ibunya, Zaini Kaus, 44, berkata, dia memerlukan masa dua hari untuk menenangkan anak-anaknya itu agar menerima suratan dan ketentuan Ilahi.
Malah, dia turut mengakui hatinya remuk apabila ketua keluarga dan insan tersayang yang dikahwini 11 tahun lalu bersemadi buat selama-lamanya di negeri abadi.
“Pada waktu itu, sukar saya nak gambarkan perasaan. Setiap hari kami berhubung, keadaan dia nampak baik. Masa itu memang saya yakin dia boleh balik.
“Tetapi sekarang, saya terpaksa terima hakikat kehilangan tempat bergantung dan tempat untuk saya mengadu nasib, namun saya reda kerana Allah SWT lebih sayangkannya.
“Kini, anak-anaklah yang menjadi sumber kekuatan untuk saya terus kuat dalam menempuh hari-hari mendatang tanpa suami di sisi,” katanya.
Bercerita detik yang meragut nyawa suaminya itu, Zaini berkata, arwah mula menunjukkan tanda-tanda demam sehari selepas kembali bekerja sebagai pemandu lori sawit.
Ujarnya, suaminya yang masih belum menerima vaksin itu disahkan COVID-19 dua hari selepas itu dan kemudian dibawa ke hospital apabila tahap oksigennya menurun kepada 93 peratus melalui bacaan oximeter.
“Selepas masuk ke hospital keadaannya seperti biasa yang mana kami berhubung setiap hari.
“Sehinggalah pada 5 September lalu, apabila doktor menghubungi saya memaklumkan arwah akan ditidurkan dan keesokan harinya oksigen menurun sehingga 40 peratus dan disahkan meninggal dunia pada jam 4 petang.
“Ternyata COVID-19 ini benar dan ia telahpun terjadi kepada saya. Jadi, saya nasihatkan ambillah vaksin sebagai ikhtiar dan pelindung diri kita,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Zaini yang juga suri rumah sepenuh masa mengakui bersyukur apabila nasib yang menimpanya mendapat perhatian pelbagai pihak yang tampil menghulurkan bantuan.
Malah, dia turut dihubungi agensi kerajaan negeri seperti Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang akan memberikan bantuan kepadanya tujuh beranak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.