Sorting by

×

Anak teruja kembali ke sekolah

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

PAYA RUMPUT 10 Jan – Pembukaan semula sekolah di negeri ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada ibu bapa, bahkan turut menerbitkan terujaan dalam kalangan anak-anak.

Tinjauan Melaka Hari Ini di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak mendapati seawal jam 6.30 pagi lagi anak-anak telah bersemangat untuk ke sekolah, sambil ditemani ibu bapa.

Walaupun terpaksa melalui budaya pembelajaran norma baharu, namun dilihat kesemua murid dan pelajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan pihak sekolah.

Seorang bapa, Khairus Saleh, 43, berkata, walaupun sudah lama anak-anaknya tidak ke sekolah, namun dia tidak berdepan masalah untuk mengejutkan dua orang anaknya Damia Melissa, 12, dan Maya Darwiesyah, 10, untuk bangun pagi.

Meskipun, pandemik COVID-19 masih belum lenyap dari muka bumi, namun dia percaya dan yakin SOP yang ditetapkan pihak sekolah berupaya membendung dari tercetusnya kluster pendidikan.

“Sebagai bapa, saya tidak bimbang, saya percaya anak-anak juga sudah memahami SOP dan budaya belajar dalam suasana norma baharu.

“Apapun saya lega apabila sekolah dibuka kerana pelajaran anak-anak secara bersemuka lebih baik dan mudah untuk mereka berikan tumpuan berbanding berada di rumah,” katanya.

PENJAGA menghantar anak di perkarangan sekolah sempena hari pertama pembukaan sekolah 2022 di Sekolah Kebangsaan Tanjung Minyak. Foto Iqmal Haqim Rosman

Bagi operator kilang, Zawawi Yakub, 46 pula, sesi persekolahan kali ini tidak begitu membebankan kerana empat daripada lima anaknya yang bersekolah masih menggunakan kelengkapan persekolahan yang lama termasuk pakaian sekolah.

Katanya, dalam situasi tidak menentu sekarang, dia dan keluarga mengambil pendekatan berjimat selain bimbang berlaku pembaziran sekiranya sekolah ditutup semula akibat COVID-19.

“Macam tahun lalu saya membelanjakan RM500 hingga RM1,000 untuk kelengkapan sekolah anak termasuk seorang anak yang sekarang belajar di kolej.

“Dah semua beli baharu namun hanya beberapa bulan sahaja anak-anak sekolah jadi risau kalau beli yang baharu kita tak pasti sekolah akan beroperasi seperti biasa atau tidak,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah Rosnisa Yahya, 37, menarik nafas lega apabila sekolah kembali dibuka dan anak-anaknya tidak perlu lagi menjalani sesi pengajian dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Bila sekolah dah buka, kita sebagai ibu bapa lega, dan anak-anak pun gembira sangat.

“Sebelum ini memang anak ada ikut PdPR namun kurang berkesan sehinggakan terpaksa menelefon guru. Ia disebabkan ada beberapa subjek yang kita sebagai ibu bapa sendiri tidak mahir, jadi kita terpaksa mendapatkan bantuan,” katanya.

Terdahulu, Exco Pendidikan Negeri Datuk Rais Yasin hadir meninjau suasana sesi persekolahan hari pertama, hari ini.

Dalam kunjungannya itu, beliau turut menyerahkan pelitup muka kepada murid dan pelajar di sekolah berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1449
Kongsi :
Previous post Kehadiran 80 peratus ke muzium meningkat, Melaka catat 1.3 juta pelancong tahun 2021
Next post Ekonomi di Melaka akan kembali pulih – KM
Ubah saiz-+=