
ANAK SAYA NAKAL SANGAT, TAK FOKUS DALAM KELAS…ADHD KE?
Oleh: DR ADAM AL-ANAS BIN MAT ALI
Pakar Kanak-Kanak
Putra Specialist Hospital Melaka
PENGENALAN
ADHD atau Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dalam kalangan kanak-kanak merupakan satu cabaran besar dalam dunia pendidikan. Ramai ibu bapa dan guru sering tertanya-tanya sama ada kesukaran kanak-kanak untuk menumpukan perhatian adalah sesuatu yang normal atau tanda gangguan seperti ADHD.
ADHD ialah gangguan perkembangan saraf yang memberi kesan kepada keupayaan kanak-kanak untuk fokus, mengawal tingkah laku, dan bertindak secara teratur dalam kehidupan seharian.
KATEGORI ADHD DAN GEJALANYA
ADHD boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama, iaitu kesukaran menumpukan perhatian, tingkah laku impulsif dan agresif, serta hiperaktif. Kanak-kanak yang mengalami kesukaran fokus sering mudah teralih, terlupa, dan gagal menyiapkan tugasan yang diberikan. Mereka juga sukar memberi tumpuan dalam tempoh yang lama walaupun dalam suasana yang tenang.
Sementara itu, kanak-kanak yang menunjukkan tingkah laku impulsif dan agresif sering bertindak tanpa berfikir dan melulu, tidak sabar menunggu giliran, serta mengganggu rakan-rakan lain. Mereka juga mudah mengalami perubahan emosi yang mendadak.
Kanak-kanak hiperaktif pula sentiasa bergerak, sukar duduk diam, dan mempunyai tenaga berlebihan yang boleh menjejaskan pembelajaran mereka.
Untuk penilaian dan pengesanan diagnosis ADHD, maklumat daripada pelbagai sumber diperlukan termasuk ibu bapa dan guru. Riwayat hidup berserta pemahaman masalah anak perlu diperoleh daripada ibu bapa.
Kanak-kanak ini diperiksa dan seterusnya peralatan diagnosa digunakan untuk menilai kemungkinan mencapai kriteria untuk ADHD.
ADHD didiagnosa oleh pakar seperti pakar kanak-kanak, pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja atau pakar pediatrik perkembangan kanak-kanak menggunakan kriteria seperti DSM-5 (Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental).
PUNCA BERLAKUNYA ADHD
Punca sebenar ADHD masih belum diketahui secara jelas, tetapi beberapa faktor telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada gangguan ini.
Faktor genetik memainkan peranan penting, di mana sejarah keluarga yang mempunyai ADHD boleh meningkatkan risiko gangguan ini diwarisi.
Selain itu, pendedahan kepada bahan berbahaya seperti rokok dan alkohol semasa kehamilan juga dikaitkan dengan ADHD kerana ia boleh menjejaskan perkembangan otak janin.
Kelahiran pramatang serta kecederaan otak pada usia awal turut menjadi faktor yang boleh mengganggu sistem saraf dan perkembangan kognitif kanak-kanak.
KAEDAH RAWATAN DAN PENGURUSAN ADHD
Bagi menangani ADHD, pendekatan yang menyeluruh perlu diambil bagi membantu kanak-kanak menguruskan cabaran mereka.
Salah satu kaedah yang berkesan ialah terapi cara kerja, di mana mereka diajar untuk mengawal tingkah laku. Untuk membantu meningkatkan fokus pendekatan ini membantu mereka memahami kesan tingkah laku mereka dan membentuk disiplin diri.
Selain itu, rawatan farmakologi seperti ubat-ubatan stimulant juga dapat meningkatkan fokus dan mengurangkan simptom hiperaktif. Walau bagaimanapun, penggunaan ubat harus dipantau oleh doktor pakar bagi mengelakkan kesan sampingan yang tidak diingini.
Pada masa sama, sokongan daripada keluarga dan institusi pendidikan juga memainkan peranan penting dalam membantu kanak-kanak ADHD menjalani kehidupan yang lebih baik.
Ibu bapa boleh menyediakan rutin harian yang konsisten bagi membantu anak-anak menguruskan aktiviti mereka dengan lebih teratur. Di sekolah, guru boleh menggunakan kaedah pengajaran yang fleksibel, seperti memberikan arahan yang jelas, menyediakan jadual yang tersusun, serta memberi masa tambahan untuk menyiapkan tugasan.
Selain itu, memastikan kanak-kanak mendapat tidur yang mencukupi, mengamalkan pemakanan seimbang, dan terlibat dalam aktiviti fizikal juga dapat membantu menguruskan simptom ADHD.
ADHD DAN HAK PENDIDIKAN DI MALAYSIA
Di Malaysia, ADHD dikategorikan sebagai salah satu bentuk ketidakupayaan pembelajaran oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Oleh itu, kanak-kanak ADHD layak memohon Kad Orang Kurang Upaya (OKU), yang memberikan pelbagai manfaat seperti akses kepada program pendidikan khas, rawatan di hospital kerajaan dengan kos yang lebih rendah, serta bantuan kebajikan daripada pihak berkuasa.
Namun, tidak semua kanak-kanak ADHD perlu ditempatkan dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), kerana ramai yang masih boleh mengikuti pembelajaran dalam aliran perdana dengan sedikit penyesuaian dalam kaedah pengajaran.
MENGHAPUS STIGMA TERHADAP ADHD
Kanak-kanak ADHD sering berdepan dengan stigma masyarakat yang menganggap mereka sebagai ‘nakal’ atau ‘malas’, sedangkan mereka menghadapi cabaran yang tidak dapat dilihat secara fizikal.
Oleh itu, kesedaran masyarakat tentang ADHD perlu dipertingkatkan supaya lebih ramai yang memahami keadaan ini dan dapat memberikan sokongan yang sewajarnya.
Dengan lebih banyak penerimaan dan kefahaman, kanak-kanak ADHD dapat membesar dalam persekitaran yang lebih menyokong dan membantu mereka mencapai potensi penuh.
Kesimpulannya, ADHD bukan sekadar masalah kurang fokus, tetapi satu gangguan perkembangan yang memerlukan pemahaman mendalam serta pendekatan yang tepat untuk menguruskannya.
Dengan sokongan berterusan daripada ibu bapa, guru, dan masyarakat, kanak-kanak ADHD dapat menjalani kehidupan yang lebih seimbang dan produktif. Oleh itu, kesedaran mengenai ADHD harus terus dipertingkatkan agar mereka mendapat peluang yang sama untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.