ANAK PENOREH GETAH KINI ‘ANAK EMAS’ UTEM

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 30 September – Impian gadis ini mahu melangkah ke menara gading kembali bersinar apabila kedaifan keluarganya mendapat perhatian daripada pihak pengurusan tertinggi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Sebelum ini Nur Hidaayah Masri terpaksa menolak tawaran menyambung pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan) di UTeM bagi kemasukan Oktober nanti akibat ketidakmampuan bapanya,  Masri Mahmud yang bekerja sebagai penoreh getah.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, selain tidak mempunyai pendapatan tetap bapa gadis berkenaan juga menghidap masalah darah tinggi dan kencing manis yang kronik.

Katanya, cakna dan prihatin atas kepayahan dilalui Nur Hidaayah, pihaknya yang diwakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif ke kediaman gadis itu di Taman Halacara Baru, Londah, Gemas, Negeri Sembilan, petang tadi.

“Kami membawa berita gembira buat Nur Hidaayah dan bapanya dengan menawarkan Biasiswa Anak Emas UTeM bagi membantu anak-anak daripada kumpulan B40 menyambung pengajian di UTeM.

“Secara keseluruhan UTeM menawarkan enam pakej bantuan termasuk wang tunai RM1,500, pemberian komputer riba, inisiatif ‘Food Bank’, penginapan asrama hingga tamat pengajian, bimbingan kaunseling dan kerjaya kepadanya sehingga berjaya dalam palajaran,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sementara itu Dr. Sabri berkata, lawatan ke kediaman Nur Hidaayah turut disertai Ketua Pentadbir HEPA, Timbalan Dekan (Pembangunan Pelajar), Fakulti Teknologi Maklumat Dan Komunikasi dan Pegawai HEPA yang terlibat.

“Kehadiran wakil UTeM menandakan khabar gembira dan ‘impian menjadi kenyataan’ yang bakal merubah kehidupan Nur Hidaayah dan bapa tercinta. Beliau kini meyakini impiannya untuk bergelar seorang pakar teknologi maklumat akan terlaksana.

“Bapanya turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada UTeM atas pakej bantuan pengajian ditawarkan ini. Walaupun beliau berasa sedih dengan kepergian Nur Hidaayah ke UTeM, namun beliau yakin anaknya mampu menggenggam segulung ijazah seterusnya akan merubah kehidupan mereka ke arah lebih baik,” katanya.

Menurutnya, UTeM selaku Universiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terbaik Malaysia bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik dan penyelidikan malah turut menyerlah dalam aspek kebajikan buat seluruh pelajarnya.
Jelasnya UTeM akan terus mendahului setiap permasalahan melibatkan kebajikan pelajar terutama daripada keluarga miskin dan golongan B40.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

33
Kongsi :
Previous post PENGAKAP LAUT TIMBA ILMU DI PHN
Next post GUNTING RAMBUT RM5 DI PAKK
Ubah saiz-+=