Anak OKU perlu dilayan sama rata
BANDARAYA MELAKA 11 Mac – Majlis Gabungan Pertubuhan Wanita (NCWO) Melaka mahu anak-anak dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini terus diberikan keutamaan.
Timbalan Pengerusi 3 NCWO Melaka, Datin Nor Haya Sulaiman berkata, anak-anak OKU juga mempunyai hak untuk menerima keistimewaan dan layanan sama rata seperti anak-anak yang normal.
“Kita mesti bersama dalam menerajui hala tuju anak-anak syurga ini, masyarakat perlu sedar bahawa anak-anak ini juga perlu diberikan kasih sayang dan penghargaan.
“Saya amat berharap agar pihak yang berkaitan sentiasa memberi perhatian dan keperluan khusus untuk anak istimewa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Kesedaran dan Cabaran Dalam Hala Tuju Anak-Anak Keperluan Khas ‘OKU Bukan Bebanan’ di sebuah hotel di sini, hari ini.
Seminar tersebut dirasmikan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Burhanuddin Bachik.
Turut hadir pada seminar itu isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman merangkap Pengerusi NCWO Melaka.
Sementara itu, Burhanuddin berkata setakat ini seramai 28,982 OKU telah berdaftar dengan JKM Melaka.
“Saya menyeru kepada semua ibu bapa yang mempunyai anak OKU segera mendaftarkan mereka di JKM untuk mendapatkan pelbagai keistimewaan.
“Datang sahaja pejabat JKM untuk daftar, tidak sampai sebulan anak-anak OKU ini akan diberikan kad OKU,” katanya.
Pada seminar itu sebanyak RM1,500 sumbangan berjaya dikumpul dan diserahkan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) yang diterima Pengerusi NASOM Melaka, Dr. Mazidah Said.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.