Sorting by

×

ANAK MUDA TERUJA INISIATIF W.R.U.R

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KUALA LINGGI 14 Januari – Penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) DUN Kuala Linggi 2025 nyata memberi impak kepada golongan anak muda yang teruja dengan pengisian aktiviti bersempena program tersebut.

Seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT), Mohamad Haikal Haris Zainudin, 19, menyatakan keterujaannya apabila inisiatif W.R.U.R yang dicetuskan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyediakan pelbagai pengisian untuk rakyat, termasuk ruang pameran daripada pelbagai agensi.

Katanya, antara yang menarik perhatiannya ialah pameran kerjaya dari pelbagai agensi serta syarikat swasta yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan.

“Sebagai seorang pelajar IPT, saya melihat pameran kerjaya sebegini membuka peluang dan ruang buat saya untuk mengetahui peluang pekerjaan yang ada secara berhadapan.

“Walaupun belum masanya untuk saya menempuh alam pekerjaan, namun ini adalah pendedahan berguna buat saya untuk mengenali agensi serta syarikat swasta yang menawarkan pekerjaan bersesuaian dengan pengkhususan bidang,” katanya kepada Melaka Hari Ini di Japerun Kuala Linggi.

Sementara itu, Muhammad Aiman Hakim Mohamad Khazali, 22, pula berpendapat, pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) antara yang menarik perhatiannya.

Jelasnya, pameran TVET berasaskan teknologi robotik dan elektrik amat jarang didedahkan di kawasan luar bandar, justeru, dia memuji Kerajaan Negeri Melaka kerana melaksanakannya menerusi program W.R.U.R.

“Pameran teknologi robotik dan elektrik paling menarik perhatian saya kerana selain daripada minat terhadap teknologi, ini adalah peluang yang saya tidak akan lepaskan kerana bukan selalu untuk melihatnya secara langsung.

“Terima kasih Kerajaan Melaka kerana sudi melaksanakan program sebegini dan memberi peluang buat masyarakat sekitar untuk menerokai pelbagai perkara menarik yang ditawarkan pada program ini (W.R.U.R),” katanya.

Program W.R.U.R membabitkan semua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dijangka berakhir tahun depan. Pelaksanaan W.R.U.R berkonsepkan turun padang bagi mendengar denyut nadi rakyat, selain turut mengadakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri diadakan di semua 28 kawasan DUN secara berselang-seli.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

97
Kongsi :
Previous post 5 KEMALANGAN MAUT LIBAT PELAJAR SEKOLAH DI MELAKA SEPANJANG 2024
Next post W.R.U.R: LALUAN BAHARU PENGANGKUTAN AWAM DI KUALA LINGGI
Ubah saiz-+=