Anak muda perlu kuasai pendidikan asas pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KLEBANG 22 Ogos – Generasi muda terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, perlu mengambil peluang menguasai pendidikan asas dalam sektor pelancongan ditawarkan di Kolej Komuniti Tangga Batu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, peluang ditawarkan menerusi pengajian selama dua tahun di Kolej Komuniti Tangga Batu, bakal menawarkan masa depan lebih cerah buat belia kerana pelancongan adalah antara sektor diberikan penekanan oleh Kerajaan Negeri.

Katanya, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) layak memohon untuk melanjutkan pengajian di Kolej Komuniti Tangga Batu dan lebih menarik jika memenuhi syarat ditetapkan mereka layak menerima bantuan pendidikan daripada kerajaan.

Menurutnya, peluang itu perlu dimanfaatkan bagi melahirkan anak muda berkemahiran, sekali gus merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri mengembangkan lagi sektor pelancongan.

“Kolej Komuniti Tangga Batu menyediakan kursus seperti asas Sijil Pengembaraan Pelancongan yang mana sepanjang tempoh pengajian pelajar didedahkan tentang asas pengurusan kawasan pelancongan dan pelbagai lagi.

“Dalam memperkasa pendidikan ini kita sarankan semua pemimpin akar umbi DUN Klebang agar bersama-sama memainkan peranan dengan menggalakkan dan menguar-uarkan manfaat bakal diperoleh apabila menguasai bidang ini (kemahiran) pelancongan.

“Kita perlu bersedia memenuhi permintaan industri pada masa akan datang, semakin banyak produk baharu ditawarkan di Melaka lebih ramai pelancong akan datang, ini juga akan membabitkan pasaran sekitar Asia Tenggara seperti Thailand dan Kemboja,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan lawatannya ke kolej itu, semalam.

Mengulas lanjut Ban Hong berkata, Kolej Komuniti Tangga Batu juga disaran untuk menyediakan program pengajian yang seiring dengan perkembangan dan kehendak semasa industri pelancongan Melaka.

“Antara aspek boleh ditambah baik adalah memperkenalkan atau beri pendedahan bahasa ketiga kepada pelajar. Jika kita mampu menuturkan bahasa ketiga seperti Thailand dengan baik ini akan menjadi tarikan pelancong dari negara itu untuk bercuti di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

83
Kongsi :
Previous post Siti Nordiana, Fazli Zainal meriahkan Dendang Warisan
Next post Regu sepak takraw Melaka mara ke suku akhir
Ubah saiz-+=