Sorting by

×

Anak muda Melaka ‘takluk’ gelanggang angkat berat

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 26 September – Kontinjen Angkat Berat Muda Negeri Melaka meneruskan momentum kecemerlangan pada Kejohanan Karnival Bakat Kebangsaan Siri Ke 2/2023 di Melaka Mall, 21 hingga 24 September lalu.

Ia selepas mereka membawa pulang enam pingat emas, empat pingat perak dan satu gangsa pada kejohanan berkenaan.

Pengurus Pasukan, Asrul Khan Syer Jang Khan berkata, kejayaan itu sekali gus menyaksikan Negeri Melaka muncul juara keseluruhan pada kejohanan kali ini.

“Pencapaian ini jauh lebih baik dari apa yang kita capai di Kejohanan Siri 1/2023 yang telah berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan Julai yang lalu.

“Ini jelas membuktikan bahawa Kontinjen Angkat Berat Melaka berada pada landasan betul untuk melahirkan atlet peringkat negeri dan nasional.

“Kita hantar seramai 25 atlet muda sebagai pendedahan kepada mereka untuk menghadapi kejohanan lebih besar pada masa akan datang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Kejohanan itu merupakan anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), MSN Melaka dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Katanya, ini adalah pencapaian terbaik kontinjen Melaka sejak Sukan Angkat Berat diaktifkan semula pada pertengahan September 2020.

“Kontinjen Melaka akan membuat persiapan rapi untuk menyertai Kejohanan Youth dan Junior Kebangsaan yang dijadual berlangsung pada pertengahan bulan November 2023 selain SUKMA 2024 di Sarawak,” katanya lagi.

Untuk rekod empat atlet dari SSN Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota telah membawa pulang Pingat Emas.

Atlet berkenaan adalah Nur Dania Izzati Mohd Firdauz dalam acara 55kg Wanita Bawah 13 tahun, diikuti Nur Nisrina Eryna Abdullah emas acara 55kg Wanita Bawah 16 tahun.

IMG-20230926-WA0002
PENYUMBANG emas pertama Melaka, Nur Dania Izzati.

Turut memperoleh pingat emas adalah Qaseh Umairah Wahid kategori 64kg Bawah 16 tahun dan Norhakim Norasri, kategori melebihi 73 kg Lelaki Bawah 16 tahun.

Pingat emas turut disumbangkan Nur Shafiq Haiqal Shaifulnizam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Bukit Senggeh bagi kategori 45kg Lelaki Bawah 13 tahun dan Nur Aziera Wahidah Mohd Said dari SMK Datuk Bendahara dalam acara 49kg Wanita Bawah 16 tahun.

Pingat Perak pula dibawa pulang oleh Nur Fatehah Zinoras (P 50kg B13) dari SK Nyalas, diikuti P. Muniandi (L 45kg B16) dan Muhammad Irfan Hazim Sharul Hisam (L55kg B16) dari SMK Nyalas, manakala Siti Nur Haliza Mohd Rizal (P 70kg, B 18) dari SSN SMK Seri Kota.

Sementara itu, pingat gangsa diperoleh Muhammad Iman Nur Hakim Mohd Said dari SK Jasin (L 40kg B13).

Pencapaian kali ini lebih baik berbanding Kejohanan Karnival Bakat Kebangsaan Siri Ke 1/2023 pada Julai yang lalu di MSN Bukit Jalil iaitu satu emas , empat perak dan dua gangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3136
Kongsi :
Previous post Malaysia tidak akan layan tuntutan remeh mana-mana pihak ke atas Sabah – Zambry
Next post Penugasan zaman komunis pengalaman berharga
Ubah saiz-+=