Anak lembu jatuh parit diselamatkan
TANGGA BATU 15 November – Misteri kehilangan seekor anak lembu betina berjaya dirungkai apabila haiwan ternakan itu ditemui dalam sebuah parit sedalam kira-kira tiga meter di Taman Tangga Batu, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, anak lembu itu bagaimanapun berjaya diselamatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Alor Gajah.
Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, kehilangan anak lembu seberat kira-kira 90 kilogram (kg) itu disedari pemiliknya yang menemukan haiwan ternakan itu terperangkap di dalam sebuah parit sebelum menghubungi APM untuk bantuan.
“Pemilik telah menghubungi PDPA Melaka Tengah dan kes ini dirujuk kepada PDPA Alor Gajah sebelum enam anggota digerakkan ke lokasi kejadian pada jam 4.37 petang.
“Anggota APM telah menggunakan tali untuk mengikat leher dan kaki haiwan itu dan pada masa sama seorang anggota berada di dalam parit untuk menolak anak lembu itu keluar daripada parit berkenaan.
“Operasi berjalan selama kira-kira 30 minit dan anak lembu itu berjaya diselamatkan,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi.
Sementara itu, pemilik lembu, Suhaina Mohamad Marzuki, 35, mengucapkan terima kasih kepada APM kerana membantu haiwan ternakannya yang terperangkap di dalam parit berkenaan.
Katanya, dia bersyukur ternakannya berjaya diselamatkan dengan bantuan APM dan tidak cedera.
“Sebelum kejadian, saya membiarkan empat ternakan, iaitu sepasang induk dan dua anak meragut di dalam kawasan kandang berpagar di belakang rumah dan ketika itulah salah seekor daripadanya hilang.
“Saya mencari di sekitar kandang dan cuba memanggil namanya sebelum mendengar
bunyi lembu dari arah parit di belakang kandang.
“Apabila diperiksa saya terkejut melihat anak lembu itu terjatuh di dalam parit dan segera menghubungi APM kerana tidak tahu cara untuk mengeluarkannya memandangkan ini adalah kejadian pertama kali berlaku sepanjang lebih lima tahun menternak lembu,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.