‘Anak hanya minta kasut, beg sekolah murah’

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BUKIT PALAH 3 Januari – “Kalau tiada bantuan ini jujurnya saya buntu untuk membuat persiapan persekolahan dua anak pada Mac depan.

“Sejak suami tidak lagi bekerja kerana strok dan organ dalamannya kritikal, kami sekeluarga hilang punca pendapatan sehinggakan persiapan persekolahan anak tidak dapat dibuat seperti tahun sebelumnya,” itu kata Nazira Abdul Rahman, 34.

Nazira yang juga ibu kepada dua anak masing-masing berusia tujuh dan 14 tahun adalah antara penerima bantuan ‘Back To School’ Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Menurut Nazira, disebabkan tidak mampu menyediakan pakaian dan kelengkapan sekolah baharu, dirinya sudah beranggapan bahawa anak-anaknya akan mengenakan pakaian lama apabila sesi persekolahan bermula tidak lama lagi.

“Mengenangkan situasi itu, ia amat menyedihkan saya, sebagai seorang ibu sudah pasti pilu memikirkan nasib anak-anak apatah lagi anak bongsu yang baru melangkah ke tahun satu.

“Apa yang membuatkan saya bertambah sebak apabila anak bongsu mengatakan dia hanya mahukan kasut dan beg baharu yang murah sahaja. Alhamdulillah, ada rezeki anak-anak apabila kami terpilih menerima sumbangan ini,” katanya ketika ditemui ketika membeli kelengkapan sekolah di sebuah pasar raya di Bukit Baru, baru-baru ini.

Img 20240204 Wa0002
NAZIRA bersama dua anaknya selepas membeli kelengkapan sekolah pada Program ‘Back To School’ MAIM di sebuah pasar raya di Bukit Baru, baru-baru ini.

Menurutnya, sumbangan RM300 yang diberikan MAIM amat membantu dan meringankan beban mereka sekeluarga dalam membuat persiapan persekolahan dua anaknya.

“Dengan bantuan ini anak-anak dapat persalinan baharu untuk sesi persekolahan nanti. Sekiranya ada rezeki lain saya akan belikan tambahan lain.

“Ini pertama kali, anak-anak menerima bantuan ini dan saya amat berterima kasih kepada MAIM kerana membantu kami sekeluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1288
Kongsi :
Previous post Hadiah terindah dari The Prayer Mat
Next post Sinar baharu buat asnaf menjelang Ramadan
Ubah saiz-+=