Anak gajah mati dilanggar kereta api penumpang di Kluang
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata tren berkenaan membawa 70 penumpang namun kesemuanya dilaporkan selamat dalam insiden pada 8.19 malam itu.
Bagaimanapun, beliau berkata tren itu tidak dapat meneruskan perjalanan kerana mengalami kerosakan dan kemek pada bahagian kiri akibat kemalangan tersebut.
“Setibanya di lokasi kejadian, seekor anak gajah didapati telah terbaring tidak bernyawa di atas tanah berhampiran dengan landasan kereta api namun tidak mengganggu pergerakan lokomotif bantuan.
“Dua ekor gajah lain yang merempuh pagar sempadan kereta api sehingga rosak berjaya melintas landasan dan menyeberangi jalan utama menuju ke kebun Simple Farm,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Bahrin berkata kawalan keselamatan telah dibuat di lokasi kejadian dan kawasan sekitar.
“Lokomotif bantuan tiba di lokasi kejadian pada kira-kira 10.40 malam dan kerja-kerja penyambungan lokomotif ke gerabak berjaya dilakukan bagi membolehkan ia kembali beroperasi.
“Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kluang telah mengambil ukuran anak gajah itu serta memotong gading bagi mengelak dicuri pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau juga berkata proses menanam bangkai anak gajah itu akan diurus oleh pihak berkuasa dengan bantuan syarikat YTL Berhad.
Pengarah Perhilitan Johor Aminuddin Jamin pula mengesahkan jantina anak gajah yang mati itu adalah jantan.
“Mamalia itu adalah pecahan daripada kumpulan gajah yang diidentitikan daripada Bandar Tenggara,” katanya ketika dihubungi.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.