
ANAK ‘BERTUAH’ HADIAHKAN MOTOSIKAL BAHARU UNTUK BAPA
PENGKALAN BATU 25 Februari – Rezeki tidak pernah salah alamat, itulah ungkapan sesuai untuk menggambarkan betapa bertuahnya, Iman Zulhelmi Zaidi, 9, memenangi cabutan sebuah motosikal selepas menyertai Briswalk Langkah Satria, bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu di perkarangan Melaka Sentral, di sini, pada Ahad.
Belum cukup umur untuk menunggang, Iman Zulhelmi berasal dari Bukit Rambai, mahu menghadiahkan motosikal baharu itu kepada bapanya Zaidi Abu Amin, 45, bekerja sebagai pemandu lori.
Ibu kepada Iman Zulhelmi, Sharifah Ismail, 45, berkata, pada mulanya dia mengajak anak kedua dari tiga beradik itu untuk bersama-sama mengamalkan gaya hidup sihat dengan menyertai program Briswalk Langkah Satria tanpa menduga akan membawa pulang sebuah motosikal baharu.

“Alhamdulillah motosikal baharu ini Iman Zulhelmi mahu hadiahkan kepada bapanya. Memang suami ada motosikal tetapi sudah berusia. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas rezeki yang tidak diduga ini, alhamdulillah, syukur.
“Selain itu saya dan anak-anak juga teruja untuk menyertai Briswalk Langkah Satria ini kerana ia turut melalui Jejantas Tun Teja, ikon Negeri Melaka yang baru saja dibuka kepada orang ramai,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu Iman Zulhelmi menerima hadiah motosikal berkenaan yang disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang diiringi Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.