Anak asnaf teruja pilih sendiri kelengkapan sekolah
BANDARAYA MELAKA 9 Mac – Terpancar keceriaan di wajah 130 anak-anak asnaf Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor apabila menerima sumbangan kelengkapan sekolah pada program dianjurkan di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.
Menariknya, kesemua mereka diberi peluang untuk memilih sendiri kelengkapan sekolah yang disukai, selain turut menikmati makan tengah hari di sebuah restoran makanan segera.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @ Mohd Hasim, sumbangan disampaikan menerusi program ‘Back To School’ anjuran Tanjung Bruas Port dengan kerjasama Japerun Pantai Kundor.
Katanya, kesemua anak asnaf terpilih itu merupakan mereka yang tinggal berhampiran Tanjung Bruas Port yang mana ia merupakan satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pelabuhan berkenaan bagi meringankan beban ibu bapa dan penjaga menjelang pembukaan semula sekolah tidak lama lagi.
“Alhamdulillah, sumbangan bernilai RM200 ini nyata memberi makna cukup besar kepada keluarga asnaf bagi meringankan perbelanjaan mereka dalam situasi kos harga barang yang tinggi.
“Saya mewakili penduduk DUN Pantai Kundor amat berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tanjung Bruas Port kerana prihatin dengan mereka yang memerlukan.
“Diharap, akan ada lebih banyak syarikat-syarikat swasta tampil sama untuk menganjurkan program CSR seperti ini dalam membantu meringankan beban masyarakat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu, Pengurus Tanjung Bruas Port Zahrain Zakaria memaklumkan, program CSR tersebut merupakan acara tahunan syarikatnya bagi membantu komuniti kurang bernasib baik.
Bagaimanapun, menurutnya, buat julung kali pada edisi tahun ini pihaknya menjemput anak-anak terlibat untuk memilih sendiri kelengkapan sekolah mengikut apa yang diminati.
“Ini satu kelainan berbanding sebelum ini kami menyediakan sendiri kelengkapan dan menyampaikannya di atas pentas
“Insya-Allah, program CSR seperti ini akan kita teruskan pada tahun mendatang dan pada Ramadan kita juga sedang merangcang aktiviti bersama masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang bapa penerima yang ditemui di pasar raya berkenaan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Tanjung Bruas Port dan Kerajaan Negeri yang prihatin dengan nasib golongan memerlukan.
Zamzol Mahat, 51 berkata, sumbangan itu nyata memberi kelegaan kepadanya kerana ia dapat meringankan beban membeli peralatan sekolah kepada anaknya yang memasuki Darjah 6 tahun ini.
“Memang bersyukur kerana ini bukti ramai pihak masih prihatin dengan nasib golongan memerlukan di negeri ini,” katanya yang bekerja sebagai pemandu van kilang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.