Anak-anak pengganti kasih arwah isteri

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

TANJUNG BIDARA 29 Julai – Walaupun gembira dengan kehadiran cahaya mata baharu, namun bekas juruteknik, Mohamad Shukri Hassan, 39, diuji dengan pemergian isteri tersayang.

Isterinya, Monaliza Udin, 35, meninggal dunia akibat komplikasi semasa melahirkan anak bongsu mereka di Hospital Serdang, Selangor pada 22 Jun lalu.

Mengakui masih bersedih dengan kehilangan itu, bapa kepada empat anak ini bagaimanapun reda dan tabah menjaga kesemua cahaya mata mereka termasuk bayi perempuannya yang baru berusia sebulan.

MOHAMAD SHUKRI.

“Sebelum ini kami menetap di Serdang namun saya mengambil keputusan berhijrah ke kampung halaman di Melaka dan akan mengusahakan tanah keluarga untuk bercucuk tanam demi kelangsungan hidup.

“Sekurang-kurangnya keluarga saya di sini dapat membantu menjaga anak-anak berbanding tinggal di ibu kota.

“Lagipun arwah isteri sentiasa berpesan supaya saya menjaga anak-anak dan walaupun masih sedih, saya perlu kuat demi mereka,” katanya.

Dia ditemui selepas menerima sumbangan dan penyampaian Faedah Pencen Penakat dan faedah Pengurusan Mayat oleh Exco Tenaga Kerja, Datuk Wira AR Ismail Othman di Kampung Air Hitam Darat, di Masjid Tanah, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Abd Razak Omar.

MOHAMAD SHUKRI (tiga kanan) bersama empat anak menetap bersama ibu bapanya di Kampung Air Hitam Darat selepas kematian isteri.

Mohamad Shukri berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai juruteknik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum mengambil keputusan berhenti kerja bagi menjaga anak-anak.

Menceritakan ujian terbesar dalam hidupnya itu, Mohamad Shukri berkata, dia perasan perubahan isterinya yang kerap kerap mencium anak-anak sebelum bergerak ke Hospital Serdang.

Katanya, seperti kebiasaan jika ada janji temu dia akan menurunkan isteri di pintu utama hospital terbabit sebelum memakir kereta, namun tidak menyangka itulah kali terakhir dia menatap wajah isterinya.

“Dari pagi kami ke hospital, namun bila hampir malam baharu saya dimaklumkan anak selamat dilahirkan namun keadaan isteri tidak stabil sebelum disahkan meninggal dunia.

“Saya reda dengan ujian ini dan bersyukur dipinjamkan seorang isteri yang baik dan tidak pernah menyakitkan hati, malah ibu yang terbaik buat anak-anak kami,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

886
Kongsi :
Previous post Kes sembuh atasi kes harian COVID-19 di Melaka
Next post PERKESO sampaikan bantuan bulanan kepada waris mangsa kemalangan
Ubah saiz-+=