Ambil peluang sebelum harga rumah naik – KM
BANDARAYA MELAKA 22 Julai – Kerajaan negeri mengajak orang ramai khususnya rakyat di negeri ini mengambil peluang untuk memiliki rumah idaman mereka mengikut kemampuan bagi mengelakkan kenaikan harga rumah pada masa akan datang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata setakat ini projek perumahan yang sedang dibina di negeri ini masih mengekalkan harga sedia ada biarpun bahan binaan menunjukkan peningkatan sehingga 40 peratus.
“Untuk makluman, harga rumah di negeri Melaka adalah yang paling rendah sekali di Malaysia, untuk suku pertama tahun 2022 ini purata jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain adalah RM206,262.
“Harga rumah teres di Melaka ialah RM181,428 dibandingkan dengan negeri lain, ini membuktikan di Melaka harga rumah adalah paling rendah, manakala indeks purata harga setiap unit rumah di negeri ini adalah RM183,203.
“Rumah sedang dibina harganya masih kekal, cuma saya tidak berani cakap akan berlaku kenaikan pada tahun akan datang akibat daripada kenaikan kos bahan binaan yang mencecah sehingga 40 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Perumahan dan Hartanah Melaka (MAPEX) 2022 di Pasar Raya Aeon Bandaraya di sini, hari ini.
Hadir sama EXCO Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Mohd Salleh Hamidom; Pengerusi Penganjur MAPEX 2022, Datuk Ngoh Chun How dan Pengerusi REHDA Melaka, Datuk Ng Choon Koon.
Dalam pada itu, Sulaiman turut menyeru orang ramai mengambil peluang berkunjung ke ekspo berkenaan yang diadakan selama enam hari bermula semalam sehingga 24 Julai ini.
“Rakyat ambil peluang datang ke MAPEX 2022 untuk membeli rumah idaman mereka sementara harga ditawarkan masih berpatutan.
“Kita (kerajaan negeri) sentiasa melihat dan memantau mengenai harga-harga rumah di melaka supaya harga rumah di negeri ini dapat menarik orang luar Melaka untuk datang beli rumah di Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.