Amaran hujan sangat lebat di Jeli, Kelantan, Terengganu dijangka banjir malam ini – JPS
KUALA LUMPUR, 30 Dis – Amaran cuaca peringkat bahaya iaitu hujan sangat lebat berterusan dijangka dialami di tiga negeri pantai timur Semenanjung – Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga Jumaat 31 Dis.
Amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia pada 1.25 tengah hari ini, menyebut kawasan-kawasan yang terlibat di tiga negeri itu ialah Jeli (Kelantan), Kemaman (Terengganu) dan Kuantan (Pahang).
Amaran cuaca buruk peringkat jingga iaitu hujan lebat berterusan juga dikeluarkan untuk kawasan Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan; Besut Hulu Terengganu dan Dungun di Terengganu; dan Jerantut, Maran dan Pekan di Pahang sehingga 1 Jan.
Sehubungan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir secara berperingkat di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu malam ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS itu, risiko banjir diramal di Kelantan bermula pukul 8 malam di jajahan Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah, Machang, Gua Musang dan Pasir Mas.
Banjir juga diramal di Terengganu secara berperingkat pada 8 malam ini (30 Dis) di beberapa daerah antaranya Setiu, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut, manakala risiko banjir diramal di Pahang esok (31 Dis) di daerah Lipis, Raub, Maran, Temerloh dan Jerantut serta kawasan rendah sekitarnya.
“Kawasan lain di Pahang adalah di sekitar Sungai Kuantan, Sungai Rompin, Sungai Pontian dan Sungai Endau melibatkan kawasan di sekitar Kuantan dan Rompin,” menurut kenyataan itu.
Bagi negeri Johor, banjir diramal pada 2 petang esok (31 Dis) melibatkan kawasan di sekitar Sungai Mersing, sungai Endau, Sungai Johor, Sungai Skudai dan Sungai Tebrau melibatkan daerah Mersing, Kluang, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Sementara itu, amaran peringkat waspada iaitu hujan berterusan sehingga 1 Jan diramal di Perlis; Kedah (Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling); Perak (Hulu Perak); Kelantan (Tumpat Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Putih); Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang); Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Bera dan Rompin) serta Johor.
Hujan berterusan juga dijangka di Sabah melibatkan pantai barat (Ranau); Tawau (Lahad Datu); Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan); serta Kudat sehingga 2 Jan.
Berikutan itu, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah hendaklah diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi.
Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah juga diminta memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan, menurut kenyataan itu.
NADMA melalui NDCC akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.