Amanah yakin menang sembilan kerusi di PRN Melaka
IPOH, 30 Okt – Parti Amanah Negara (Amanah) yakin dapat memenangi sembilan kerusi yang akan ditandingi parti itu menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini.
Pengarah Pilihan Raya Amanah Nasional Datuk Asmuni Awi berkata keyakinan itu berdasarkan hasil kajian rambang di peringkat akar umbi yang mendapati kebanyakan pengundi di negeri itu masih menyokong PH.
“Peluang untuk menang kesemua kerusi dalam PRN Melaka adalah cerah dan bagus dengan isu-isu tempatan yang ada dan kita pun boleh bergerak mendekati pengundi semasa berkempen mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan
“Bagaimanapun, kita (PH) tidak sekali-kali memandang rendah kekuatan pihak lawan walaupun berlakunya perpecahan (politik) dalam kalangan mereka tetapi kita perlu menghormati kekuatan mereka kerana kadang-kadang kelemahan yang ada itu dapat diatasi melalui pengalaman yang ada,” katanya.
Asmuni yang juga Pengerusi Amanah Perak berkata demikian pada sidang media sempena Konvensyen Negeri Perak 2021 Amanah kali ke-6 yang dirasmikan Naib Presiden Amanah Nasional Dr Siti Mariah Mahmud di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata gabungan berkenaan telah selesai mengagihkan kerusi ditandingi komponennya daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding di 11 kerusi, Amanah dengan sembilan kerusi dan DAP lapan kerusi.
Pada PRU14, Amanah menang dua kerusi DUN iaitu Durian Tunggal dan Bukit Katil daripada enam kerusi yang ditandingi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Nov sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka, 8 Nov hari penamaan calon dan 16 Nov tarikh undi awal. -BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.