Amalkan sifat toleransi lancarkan pemeriksaan SJR
ALOR GAJAH 4 Jun – “Sepatah dua kata yang baik serta ucapan terima kasih sudah memadai untuk menghargai petugas barisan hadapan yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR).”
Itu luahan Timbalan Ketua Polis Melaka Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah terhadap pengguna jalan raya supaya mengamalkan sifat toleransi ketika melalui SJR.
Beliau berkata, pemeriksaan yang ketat pada 15 SJR di negeri ini akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mengakibatkan trafik sesak beberapa kilometer sekali gus menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pemandu.
Katanya, keadaan itu sekali gus turut menimbulkan sikap luar kawalan segelintir pemandu terhadap petugas barisan hadapan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Pemeriksaan ketat yang kita lakukan tujuannya adalah membantu kerajaan dan masyarakat untuk memutuskan rantaian COVID-19, jadi sama-samalah kita saling membantu dan hormat-menghormati.
“Namun, pemeriksaan yang rapi itu adakalanya menimbulkan kemarahan pengguna jalan raya dan kami memahami situasi itu, namun tidak salah jika mereka menggunakan kata-kata yang lebih sopan kerana anggota bertugas juga berpanas melakukan tugas yang diamanahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) ketika membuat beberapa tinjauan di SJR di daerah Alor Gajah yang turut dihadiri Pegawai Turus Ketenteraman Awam, Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat.
Mengulas lanjut, Razali berkata, sikap toleransi antara pengguna jalan raya dan petugas barisan hadapan termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) amat penting dalam melancarkan pemeriksaan di SJR.
“Jadi hargailah perasaan sesama manusia jangan lepaskan geram kepada petugas barisan hadapan ini yang menjalankan tugasnya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.