Sorting by

×

Amalan membaca bantu kemajuan negara

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BUKIT BARU 8 Sept. – Perpustakaan institusi sosial yang menggalakkan minat membaca dalam kalangan masyarakat sekali gus merealisasi dasar kerajaan dalam agenda pembangunan sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Inovasi) Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, amalan membaca mampu beri kesan positif seseorang supaya berfikiran terbuka.

Menurutnya, amalan membaca mampu membentuk masyarakat supaya menyumbang kepada kemajuan negara.

NOOR Effandi bergambar bersama barisan pemenang pertandingan berkenaan.

“Kerajaan turut ambil pendekatan serius dengan memperkenalkan kempen dekad membaca kebangsaan dengan menyasarkan tahun 2030 menjadi negara membaca.

“Kempen ini bagi membentuk masyarakat mempunyai ilmu bertaraf dunia dengan tumpuan membaca untuk pengetahuan dan pembudayaan amalan membaca,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Wacana Rukun Negara: Semangat Patriotik Jiwa Merdeka dan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Perpustakaan Keluarga 2019 di Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM), hari ini.

Ujarnya, kajian mendapati 25 peratus generasi muda mula menjauhi diri daripada membaca buku dan bergantung sepenuhnya kepada informasi serta kandungan diperolehi daripada internet.

“Justeru, ibu bapa perlu bantu pihak kerajaan memperkenalkan anak-anak dengan perpustakaan serta fungsinya dengan mewujudkan perpustakaan keluarga di rumah.

“Saya percaya pertandingan ini menjadi saksi bahawa perpustakaan, bahan-bahannya, program atau aktiviti galakan membaca masih relevan,” katanya.

Program itu melibatkan seramai 45 peserta seluruh Melaka meliputi tiga kategori iaitu kategori rumah kampung, kategori taman perumahan dan kategori rumah pangsa dan teres kos rendah.

Hadir sama, Pengarah PERPUSTAM Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris.

Views:

1141
Kongsi :
Previous post Sebahagian Jalan Merdeka diabadikan nama Jalan Tun Khalil Yaakob
Next post Ketua Polis Melaka terima kunjungan hormat MHI
Ubah saiz-+=