Amal jariah bersihkan masjid pada Ramadan
TANJUNG BIDARA 3 April – Selepas dua tahun tidak mampu melakukan amal jariah membersihkan masjid pada Ramadan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), enam sekeluarga mampu merealisasikan kerja berkenaan hari ini.
Pemilik Rumpun Serai Resources Enterprise, Zulaiha Ali, 54, melahirkan kesyukuran kerana anggota keluarganya bergotong-royong membersihkan Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, di sini selepas pelbagai sekatan yang dikenakan ketika PKP, sudah dimansuhkan.
“Alhamdulillah, dua tahun kami tidak dapat membuat kerja amal jariah membersihkan masjid pada Ramadan kerana PKP tetapi hari ini kami boleh menyedut habuk permaidani masjid dan mengelap tangga.
“Kami amat merindui suasana seumpama ini kerana sudah membuat kerja ini sejak 2017 tetapi PKP pada 2020 serta tahun lalu menyebabkan kami tidak berpeluang melakukannya,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan.
Zulaiha ditemani anaknya, Harith Alias, 25, Farid, 24, Nur Amalina, 23 dan Nur Qistina, 20, serta menantunya, Zakwan Ismail, 23, dan pekerja, Muhammad Fida’uddin Mohd Fuad, 21, menggunakan pelbagai peralatan bagi membersihkan permaidani dan lantai jubin masjid.
Dalam pada itu Harith berkata, selain masjid itu, dia dan anggota keluarganya turut membersihkan dua surau di kampung berkenaan kerana ia adalah tempat bapanya, Alias Ibrahim, 55, dilahirkan.
“Kami amat gembira dapat berbakti kepada anak kariah kampung ini kerana ia adalah tempat asal bapa kami,” katanya.
Zulaiha dan anggota keluarganya tinggal di Seremban, Negeri Sembilan dan terbabit dalam kerja pembersihan bangunan kerajaan di Kuala Lumpur.
Pengerusi masjid berkenaan, Datuk Abdul Mutalif Che Mat berkata, anak kariah di kampung itu mengucapkan terima kasih atas kesudian Zulaiha dan anggota keluarganya menjalankan
tugas berkenaan.
“Alhamdulillah, semoga amal jariah mereka diberikan ganjaran berlipat kali ganda pada Ramadan yang mulia,” katanya.
Dia berkata, amalan bersedekah melalui kerja membersihkan masjid itu seharusnya dicontohi lebih ramai anak kariah kampng itu yang sudah berjaya tetapi tinggal di perantauan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.