Alza terbabas nyaris masuk anak sungai
AYER LIMAU 30 April – Dua warga emas cedera selepas kereta dinaiki terbabas dan tersangkut di atas Jambatan Sungai Siput di Jalan Lubok China, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, pemandu berkenaan bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superitendan Arshad Abu berkata, kejadian berlaku selepas hujan apabila kereta jenis Perodua Alza itu hilang kawalan dan terbabas sendiri melanggar besi papan tanda di bahu jalan
Katanya, akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan tersangkut di atas Jambatan Sungai Siput.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati lokasi kejadian terdapat satu lorong dua hala dengan keadaan cuaca selepas hujan dan permukaan jalan licin.
“Mangsa pemandu tidak mengalami kecederaan manakala dua penumpang warga emas mengalami mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka memaklumkan pihaknya menerima panggilan pada jam 5 petang dan menggerakkan tujuh anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Masjid Tanah ke lokasi kejadian.
Setibanya di lokasi, katanya, dua mangsa berkenaan telah dibawa ke hospital dan anggota bomba menjalankan kerja-kerja mengalihkan serpihan kenderaan di kawasan berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.