Alunan al-Quran pemikat jiwa

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BUKIT BARU 6 Jun – Muncul johan Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka Tahun 2024 dianggap sebagai rezeki yang amat besar bagi wanita ini.

Norhashimah Md Ashari, 40 berkata, setiap pertandingan yang disertai dianggap sebagai medan untuk memperbetulkan bacaan al-Quran, berikutan itu dia tidak pernah meletakkan sebarang sasaran, apatah lagi bercita-cita menjadi johan.

Kakitangan Jabatan Rekod Perubatan, Hospital Melaka ini berkata, apa yang amat diharapkan adalah bacaan al-Quran yang diperdengarkan menarik orang lain untuk turut bersama-sama membaca kalam Allah itu.

“Oktober depan saya akan mewakili JKN Melaka ke pertandingan peringkat kebangsaan di Kedah, jadi saya akan cuba untuk lakukan yang terbaik.

“Mahu baca al-Quran dengan betul perlu berlatih setiap hari. Saya masih dalam proses membaca al-Quran, malah sampai sekarang saya masih merujuk kepada guru saya,” katanya.

Bekas pemenang tempat ketiga pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan itu ditemui selepas Majlis Perasmian Penutupan Tilawah Al-Quran Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Melaka Tahun 2024, yang disempurnakan Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa, di Auditorium Masjid Al-Azim, hari ini.

Sementara itu, Dr. Muhammad Miftahuddin Sufyan, 32, bertugas di Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi, Hospital Melaka pula dinobatkan sebagai johan qari dan sekali gus layak peringkat kebangsaan.

“Sudah lama juga saya tidak menyertai pertandingan tilawah, namun sejak tahun lepas saya aktif semula dan agak terkejut apabila diumumkan sebagai johan.

“Semoga mereka yang mendengar bacaan saya ini tertarik sama untuk bersama-sama membaca al-Quran kerana itulah harapan saya,” katanya.

Menurutnya, layak ke peringkat kebangsaan adalah satu peluang yang besar maknanya kerana dapat berjumpa dengan lebih ramai qari yang jauh lebih berpengalaman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

962
Kongsi :
Previous post Lebih 30,000 permohon terima bantuan tunai pertama BUDI MADANI Isnin ini
Next post Pesara rugi lebih RM4.7 juta terpedaya pelaburan tidak wujud
Ubah saiz-+=