Alumni aset universiti, ibarat sirih pulang ke gagang
Oleh Mohd Hariri Mohamad Daud
ORASI tentang peranan alumni universiti mula kedengaran kerana wujud keprihatinan bahawa ketika ini pembangunan universiti memerlukan sokongan para alumni sebagai aset penting universiti.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, institusi pendidikan menyedari kelebihan luar biasa untuk mengintegrasikan urusan akademik, hal ehwal pelajar, pembangunan fizikal universiti dengan jaringan alumni.
Hal ini terbukti dengan beberapa projek sinergi melibatkan kebajikan pelajar, promosi kemasukan universiti, pembangunan akademik melalui sumbangan tunai mahupun tenaga pakar.
Istilah alumni boleh diertikan sebagai lulusan atau produk dari proses pendidikan yang adun secara komprehensif oleh sistem pendidikan universiti.
Alumni juga adalah bahagian penting untuk membuktikan sistem pendidikan universiti tersebut benar-benar melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan berkualiti tinggi sebagai kayu ukur buat ibu bapa atau majikan.
Penglibatan Alumni
Bicara tentang partisipasi alumni sering dirujuk kepada model yang ditunjukkan oleh universiti-universiti terkemuka dunia seperti Universiti Havard, Universiti Oxford dan Universiti Al-Azhar yang mempunyai jumlah dana amanah di antara yang terbesar di dunia yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh alumni.
Dana wakaf ini membolehkan universiti-universiti berkenaan mempunyai kemampuan kewangan yang mandiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.
Di Malaysia, penglibatan alumni dalam proses membuat keputusan dan berkongsi kepakaran dengan universiti bermula dengan pindaan pada Akta 30, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 Pindaan 2009 yang melantik seorang alumni Universiti yang berpengetahuan dan berpengalaman sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti serta boleh membantu Lembaga.
Selain itu, kewujudan Pusat Alumni Universiti, Persatuan Alumni Universiti, pelantikan alumni sebagai Naib Canselor dan terkini Majlis Alumni Universiti Awam diharapkan mengiktiraf peranan alumni serta merancakkan lagi jaringan alumni dengan universiti.
Alumni duta Universiti
Ungkapan ‘Jangan ditanya apa negara boleh beri, tapi apa yang boleh kita beri kepada negara’ turut boleh dihayati dalam konteks alumni.
Para Alumni yang lulus dari sesebuah universiti perlu merasakan universiti seperti ibu kandung yang melahirkan dirinya sehingga mempunyai ikatan emosi dan rohani yang turut merasa tanggungjawab untuk mempertahan, membangunkan dan menyayangi ‘ibu kandung’.
Ada tiga peranan utama boleh dimainkan oleh alumni iaitu pertama meningkatkan enrolmen pelajar dengan mempromosikan universiti.
Calon pelajar akan teruja apabila diberitahui pegawai, usahawan, teknokrat berjaya ini adalah graduan dari sebuah universiti sama ada melalui biodata bertulis, pengenalan sebelum pembentangan atau apa-apa sidang.
Promosi tanpa berbayar ini dapat melonjakkan prestasi universiti dalam kedudukan terbaik dunia melalui kemasukan pelajar terutamanya pelajar luar negara.
Menyumbang Kepakaran
Kedua, menyumbang kepakaran yang dimilki. Kehadiran semula alumni sama ada sebagai ahli lembaga pengarah universiti, pensyarah jemputan, ahli jawatankuasa penasihat fakulti, pakar industri dan rakan kongsi projek usahasama dengan universiti melalui pemindahan pengetahuan (knowledge transfer) dapat membantu universiti meningkatkan kualiti akademik, penyelidikan dan hal ehwal pelajar.
Selain itu, alumni boleh menjadi pintu masuk bagi universiti menjalankan penyelidikan atau pembangunan sistem kepada sesebuah organisasi dimana alumni itu bekerja.
Menarik juga dengan apa yang dibuat oleh alumni University of Texas, setiap tahun Alumni menaja retreat tiga hari yang dikenali sebagai Camp Texas bertujuan untuk bertemu dengan pelajar baharu dan diperkenalkan tentang tradisi, ritual, dan semangat University of Texas.
Membantu Dana Universiti
Ketiga, memberi sumbangan kepada dana Universiti. Cabaran Universiti pasca COVID-19 ialah untuk mendapatkan dana bagi menyara dan membangunkan universiti serta tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya dengan kerajaan.
Di waktu kritikal ini, ramai pelajar yang memerlukan keperluan komputer riba untuk mengikuti kelas secara atas talian dan ada juga pelajar yang tidak mampu membayar yuran pendaftaran pelajar baharu atau isu-isu kebajikan pelajar lagi yang boleh ditanggung bersama oleh para Alumni atas semangat alma mater dan taawun.
Sehingga kini, majoriti universiti sudah menubuhkan tabung sumbangan dan boleh diakses dengan mudah melalui pelbagai platform aplikasi.
Namun para penyumbang lebih gembira jika setiap sumbangan itu dikhususkan untuk tujuan apa dan dapat dilihat aliran sumbangan tersebut bagi memberi semangat kepada mereka walaupun bukan itu hakikat habuan dikehendaki.
Penulis adalah Ahli Lembaga Pengarah (Wakil Alumni) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).