ALOR GAJAH ‘HOTWHEELS’ TARIK PESERTA CILIK, WARGA EMAS
ALOR GAJAH 1 Februari – Alor Gajah Hot Wheels Long Distance 2.0 berjaya menarik 234 penyertaan bagi pengumpul dan penggemar kereta permainan miniatur itu di Dataran Keris, Alor Gajah baru-baru ini.
Aktiviti diadakan bersempena Program Hari Tanpa Kenderaan @ Santai Malam Minggu tersebut turut mendapat kerjasama TT Jebat selaku penganjur bagi kereta permainan itu.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata lebih menarik aktiviti itu turut disertai penggemar kereta permainan yang berusia dari empat hingga 64 tahun.
“Objektif utama aktiviti ini untuk memberi peluang kepada penduduk Alor Gajah merasai perlumbaan ‘hotwheels’ yang semakin popular diserata dunia.
“Ini juga salah satu inisiatif MPAG untuk menjadikan sesuatu acara itu mesra keluarga kerana pesertanya melibatkan pelbagai usia dari kanak-kanak hingga warga emas.
“Ini adalah acara kedua diadakan yang mana acara pertama diadakan pada Oktober 2024 yang lalu. Insya-Allah kita akan teruskan lagi jika mendapat permintaan ramai,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Pada Program Hari Tanpa Kenderaan @ Santai Malam Minggu tersebut turut diadakan demonstrasi pemadaman kebakaran daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) daerah Alor Gajah.
Selain itu turut disediakan kaunter kajian kepuasan pelanggan MPAG, kaunter perkhidmatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah dan kaunter Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Terdahulu hadiah pertandingan ‘hotwheels’ telah disampaikan Timbalan Ketua WHIP MPAG, Clr Rosli Md Isa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.