Alliance bank lanjut pengubahsuaian pinjaman, moratorium RM7 bilion
Bank berkenaan turut membayar lebih RM600 juta bagi Kemudahan Bantuan Khas dan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar bernilai RM120 juta yang disediakan Bank Negara Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, Alliance Bank berkata ia akan meneruskan pakej ‘Payment Relief Assistance’ (PRA) untuk membantu individu dan perniagaan yang mengalami kekangan aliran tunai akibat pandemik COVID-19.
Bank itu berkata individu yang kehilangan pekerjaan atau terjejas pendapatan akibat pandemik boleh memohon PRA, manakala sokongan yang sama turut diperluaskan kepada perniagaan yang berdepan kemerosotan pendapatan.
Menurut bank berkenaan, ia telah memudahkan proses permohonan untuk menyenangkan pelanggan mendapat pakej PRA di samping melancarkan akaun perniagaan WhatsApp untuk memberi respons lebih pantas terhadap pertanyaan pelanggan mengenai pakej itu.
Katanya, tiada impak terhadap rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) kepada pelanggan yang membuat permohonan pakej PRA sebelum 31 Dis 2021.
“Keutamaan kami adalah untuk terus membantu pelanggan menangani kesan pandemik ini.
“Kami menggesa pelanggan yang berdepan masalah kewangan agar menghubungi kami secepat mungkin untuk membincangkan pakej bantuan bersesuaian bagi meringankan komitmen kewangan mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Joel Kornreich.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.