Sorting by

×

Aliran trafik masuk Melaka lancar

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

TABOH NANING 16 Okt – Keadaan aliran trafik di Plaza Tol Simpang Ampat di sini bergerak lancar dan terkawal tanpa pertambahan bilangan kenderaan yang luar biasa sehingga lewat petang ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di pintu masuk tol berkenaan mendapati pelbagai jenis kenderaan bergerak lancar dan tiada berlaku sebarang kesesakan trafik seperti yang dijangkakan ekoran kebenaran rentas negeri.

Pergerakan kenderaan di Lebuhraya AMJ menghala pusat bandaraya juga lancar dan terkawal tanpa menunjukkan pertambahan kenderaan luar biasa.

Bagaimanapun aliran trafik dilihat mulai padat di laluan AMJ berhampiran Cheng dan semakin bertambah sekitar kawasan taman perumahan dengan kenderaan bertali arus.

KENDERAAN dari arah Sungai Udang menghala Klebang bergerak perlahan sejauh tujuh kilometer.

Pemandangan trafik sesak juga berlaku dari Sungai Udang menghala Klebang berhampiran pusat niaga makanan tradisional cencaluk dan belacan dengan kesesakan sejauh kira-kira enam kilometer ekoran pertambahan kenderaan yang melalui laluan tersebut.

Hasil pemerhatian MHI mendapati sebahagian besar kenderaan yang melalui laluan tersebut mempamerkan nombor kenderaan Lembah Klang dan sebahagiannya dari Perak, Pahang dan Kelantan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri menjangkakan kesesakan luar biasa bakal melanda beberapa laluan masuk ke pusat bandar Melaka sempena pembukaan pintu negeri kepada pengunjung luar Melaka ekoran kebenaran rentas negeri oleh kerajaan baru-baru ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

853
Kongsi :
Previous post Pertembungan pemain otai negara
Next post Chin Ann bimbang kaum Cina tak minat bola sepak
Ubah saiz-+=