Sorting by

×

‘ALI BABA’ BARAH ROSAKKAN PENGAYUH BECA

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 7 September – Bagi mengelakkan budaya ‘Ali Baba’ yang semakin berleluasan dalam kalangan pengayuh beca, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mewujudkan garis panduan baharu bermula tahun 2025.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata budaya ‘Ali Baba’ merujuk kepada situasi penambahan pengayuh separuh masa yang menggunakan beca kepunyaan pemilik berlesen.

Katanya, kehadiran pengayuh beca segera umpama cendawan tumbuh selepas hujan terutama pada setiap hujung minggu disifatkan sebagai mengganggu pendapatan pengayuh lain.

“Budaya Ali Baba ini patut dihentikan, sebab itu MBMB bertindak lebih tegas dengan mewujudkan garis panduan baharu yang mana pengayuh beca perlu mengikuti syarat dan terma untuk memperbaharui lesen.

“Pengayuh beca segera yang MBMB pernah tangkap kebanyakannya adalah bawah umur 18 tahun (kebanyakan kes adalah anak pemilik lesen), warga asing yang berkahwin dengan pemilik lesen dan pelbagai lagi.

“Pemilik lesen ini jika ditangkap boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 107 Akta 171 yang boleh dikenakan kompaun RM500 dan lesen boleh dibatalkan serta merta,” katanya pada sidang media Garis Panduan Pengayuh Beca Negeri Melaka di MBMB Graha Makmur, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Shadan berkata antara syarat yang perlu diikuti untuk pemohon baharu dan pemohon yang ingin perbaharui lesen pengayuh beca hendaklah memastikan beca berdaftar dengan MBMB.

“Pengayuh beca diwajibkan mengemukakan laporan kesihatan yang disahkan oleh pegawai perubatan daripada hospital; wajib juga mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Pengayuh juga perlu sentiasa mempamerkan plat pendaftaran beca dan memakai kad lesen pengayuh beca,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1085
Kongsi :
Previous post RAMAI TUNGGU MENU RM10
Next post BAYI MAUT: JKM MELAKA SAHKAN TASKA TIDAK BERDAFTAR
Ubah saiz-+=