‘Alhamdulillah terubat hati anak nak beraya tahun ini’

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BANDARAYA MELAKA 20 April – “Sebelum ini apa yang ada termasuk baju terpakai orang sedekah kami akan pakai saja, tapi syukurlah anak tak pernah merungut”.

Itu luahan seorang ibu tunggal Norhayati Mohd,38, yang kini menanggung enam anak termasuk empat daripadanya adalah Orang Kelainan Upaya (OKU) selepas kematian suami.

“Syukur alhamdulillah terima kasih kepada penyumbang Melaka Hari ini (MHI) belikan baju raya untuk anak-anak yatim ini.

NORHAYATI

“Sekurangnya dalam (fasa peralihan) endemik ini bolehlah ringankan beban ibu tunggal dan anak-anak yang tiada bapa, terubatlah hati mereka nak beraya tahun ini.

“Tahun lepas pun dapat sumbangan orang bagi baju raya, orang kata rezeki anak yatim tu sentiasa ada, bersyukur sangat,” katanya sebak.

Terdahulu MHI dibawah Program Nur Insani Raikan Anak Yatim telah menyampaikan sumbangan baju raya Aidilfitiri kepada 14 anak-anak yatim dari golongan memerlukan di Pasaraya Mydin MITC.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi MHI, Anuar Shaari; Ketua Kandungan MHI, Mohd Salman Hamat dan wakil kafe minuman Hang Boba, Mohd Fikri Mohd Ali.

ANUAR (dua dari kiri) bersama Salman (kiri) dan Mohd Fikri menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama kafe minuman itu bagi sumbangan duit raya dan majlis berbuka puasa.

Seorang lagi, Siti Rosliana Abd Ghani,32, bersyukur sumbangan itu sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya untuk membeli kelengkapan raya buat enam anaknya.

“Alhamdulillah dapat baju raya bantuan daripada MHI ini, anak-anak semua gembira , sebagai ibu bila ada pihak bantu ia dapat kurangkan beban kami.

“Ini kali kedua raya tanpa suami yang meninggal dunia tahun lalu akibat sakit jantung. Tak sangka masih ada yang membantu dan setakat ini masih belum terputus bantuan.

“Kalau anak minta baju raya, saya selalu cakap sabarlah mungkin ada orang yang akan bantu kita,” katanya yang menetap di Program Perumahan Rakyat (PPR) Krubong.

SITI ROSLIANA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1167
Kongsi :
Previous post SUKMA XX: Melaka mampu tuai lima emas dalam sukan muaythai
Next post Lelaki tetak empat ahli keluarganya ditangkap polis
Ubah saiz-+=