Sorting by

×

‘ALHAMDULILLAH, RAYA KALI INI RUMAH LEBIH SELESA’

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PENGKALAN BATU 18 Februari – “Alhamdulillah, doa saya akhirnya dimakbulkan. Insya-Allah tahun ini saya bakal menyambut hari raya di rumah yang berwajah baharu.

“Boleh katakan setiap kali selepas solat saya akan berdoa agar ada ihsan daripada mana-mana pihak untuk tampil membantu, akhirnya ia dimakbulkan juga,” kata warga emas Zainon Kassim, 84.

Menurut Zainon, rumah menjadi tempatnya berteduh ketika ini sudah usang,  dinding pula sudah tidak kukuh akibat  dimakan anai-anak selain menjadi tempat tikus bersarang.

Katanya, selepas hampir tiga tahun menunggu akhirnya permohonannya untuk mendapatkan bantuan baik pulih kediaman diluluskan, menyebabkan dia berasa amat lapang dan lega mendengar perkhabaran itu.

“Sayu rasanya hati apabila melihat keadaan rumah yang uzur ditambah lagi dinding pula reput kerana dimakan anai-anai.

“Saya diberitahu kerja-kerja baik pulih melibatkan kos puluhan ribu dan dijangka siap sebelum Hari Raya Aidilfitri, dapatlah saya merasa beraya di rumah baharu,” katanya.

Warga emas itu ditemui selepas program ziarah kasih bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin bersama-sama dengan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh di kediamannya di Bukit Piatu, semalam.

Katanya, sebelum ini dia ada terfikir untuk membaiki rumahnya itu dengan menggunakan wang sendiri namun tidak berkemampuan selain dirinya juga tiada pendapatan tetap.

“Terima kasih juga saya ucapkan atas keprihatinan Datuk Kalsom dan Datuk Dr Muhamad Akmal kerana sudi membantu serta bertanya khabar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

167
Kongsi :
Previous post JENAZAH LIMA BERANAK DISEMADIKAN DALAM SATU LIANG LAHAD
Next post ASNAF DUN AYER KEROH TERIMA BANTUAN PERSEDIAAN RAMADAN