Sorting by

×

‘Alhamdulillah, kami sudah ada lesen’

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

TANJUNG BIDARA 27 Okt – “Alhamdulillah, sekarang kami sudah ada lesen menangkap ikan sungai berbanding keadaan sebelum ini yang menyebabkan kami terpaksa mencari rezeki dalam keadaan bimbang ditahan.

“Dengan lesen ini, insyaAllah kami akan bertambah bersemangat untuk turun ke sungai mencari rezeki berbanding sebelum ini,” kata nelayan sungai, Abdul Jalil Osman, 48.

Beliau berkata, selepas terpaksa turun ke sungai tanpa dokumen menangkap ikan yang sah sejak beberapa tahun lalu, sekarang beliau yakin untuk mencari rezeki di sungai selepas menerima Kad Pendaftaran Nelayan Sungai.

DARI kiri, Fadhil (dari kiri), Abdul Aziz dan Abdul Jalil gembira menerima Kad Pendaftaran Nelayan Sungai disampaikan Norhizam di Padang Kemunting, Masjid Tanah. – Foto Din Ahmad

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan kesediaan Jabatan Perikanan memberikan kad itu yang kami sifatkan sebagai lesen untuk menangkap ikan sungai,” katanya.

Abdul Jalil adalah seorang daripada 40 nelayan sungai di Lubok Cina yang menerima kad berkenaan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee di sebuah resort di pantai Padang Kemunting, di sini semalam.

Selain kad berkenaan, Norhizam turut menyampaikan pampasan kepada 43 nelayan yang hasil tangkapan mereka merosot akibat aktiviti mengorek pasir Sungai Rembau, Sungai Ramuan Cina dan Sungai Tebing Urut di Lubok Cina.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Fauzi Solehan dan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Rosli Mustapa.

Abdul Aziz Ibrahim, 59, berkata beliau bersyukur diberikan kad berkenaan kerana ia adalah dokumen paling penting yang diimpikan selama ini.

“Saya dan nelayan lain yang tidak ada Lesen Menangkap Ikan seperti nelayan lain amat berharap diberikan lesen kerana tanpa lesen, kami boleh ditangkap dan didakwa,” katanya.

Fadhil Affendi Abdullah, 42, berkata beliau bersyukur menerima kad berkenaan kerana ia menyediakan peluang untuknya berusaha lebih gigih mencari rezeki di sungai.

“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada kerajaan negeri, terutama Datuk Norhizam kerana memperjuangkan nasib nelayan sungai seperti kami dan saya tidak akan mempersia-siakan lesen itu untuk menambah pendapatan untuk keluarga,” katanya.

Sementara itu Norhizam berkata, kad berkenaan berbeza dengan Lesen Menangkap Ikan yang dimiliki 43 nelayan yang menerima pampasan itu kerana nelayan yang mempunyai kad berkenaan tidak layak menerima subsidi bahan api dan elaun sara hidup seperti yang dinikmati nelayan yang mempunyai lesen itu.

Bagaimanapun, kad memberikan peluang untuk mereka menangkap ikan tanpa dibelenggu kebimbangan ditahan pegawai Jabatan Perikanan, katanya.

Views:

759
Kongsi :
Previous post COVID-19: Lebih 10,000 pegawai, anggota polis dikuarantin
Next post Pinjaman tidak wujud: Polis tahan 109 ahli sindiket
Ubah saiz-+=