Alhamdulillah, jasad adik Muhammad Danish ditemui sempurna
BUKIT PALAH 26 November – Mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, Muhammad Danish Mohd Faizal ditemui dalam keadaan sempurna dan lengkap berpakaian di Taman Desa Baru, di sini, jam 9.30 pagi tadi.
Dalam kejadian petang semalam mangsa dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Taman Goodwood, Bukit Baru,
Pegawai Zon 1 Jabatan dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira 1.3 kilometer daripada lokasi dia dilaporkan terjatuh.
“Mangsa terjatuh ke dalam longkang berkedalaman dua meter dengan lebar 15 kaki dan mayatnya ditemui oleh orang awam di Taman Desa Baru oleh orang awam.
“Terdahulu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mendapat maklumat daripada seorang lelaki mengenai objek terapung mencurigakan dalam longkang berkenaan.
“Selepas pemeriksaan lanjut objek dimaksudkan adalah mayat kanak-kanak dan tindakan kita mengeluarkan mayat tersebut sebelum menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini
Menurutnya, ketika ditemukan, mayat mangsa berada dalam keadaan sempurna dan cukup sifat dengan hanya sedikit kecederaan di bahagian kepala.
Zulkhairani berkata, SAR berdepan kesukaran berikutan keadaan longkang sempit, paras air yang tinggi selain jarak antara lubang besar longkang tersebut agak jauh.
“Alhamdulillah mangsa ditemukan selepas 18 jam SAR yang membabitkan 20 anggota bomba dan polis sejak semalam. Difahamkan mayat kanak-kanak tersebut dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.
Dalam kejadian lebih kurang jam 3.25 petang semalam, Muhammad Danish, disedari hilang oleh ibunya, Nor Amiza Che Kar, 28, ketika sedang berniaga berdekatan kawasan terbabit.
Sebelum kejadian, mangsa dilihat bermain di kawasan berhampiran bersama abangnya berusia berusia empat tahun.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.