ALAMAT DIGITAL ‘MASA DEPAN’ UNTUK ORANG KAMPUNG
KUALA LINGGI 18 Januari – Pengenalan alamat digital dan kod QR lokasi rumah menerusi inisiatif Kampung Digital bakal memacu masa depan lebih baik untuk penduduk kampung.
Antara yang menerima manfaat tersebut adalah 178 buah rumah di Kampung Guan, Kuala Sungai Baharu yang selesai melalui proses cerapan dan kini ditransformasikan kepada Kampung Digital.
Seorang penduduk Kampung Guan, Mei Ling, 43, berkata, inisiatif itu nyata memudahkan penduduk khususnya membabitkan surat-menyurat dan penghantaran barang, selain turut berfungsi mengurangkan jurang digital penduduk di kawasan luar bandar.
Jelasnya, dengan alamat konvensional yang menggunakan sistem perbatuan, dia dan keluarga berdepan beberapa masalah ada di antara surat-menyurat tidak sampai terus ke rumah, selain akses untuk ke rumah itu juga lebih sukar.
“Untuk masa hadapan, inisiatif juga amat membantu anak-anak kami yang sedang membesar untuk hidup dalam dunia digital.
“Selain itu, saya percaya dengan alamat yang telah diselaras dan ditambah baik, segala bentuk bantuan daripada kerajaan lebih mudah sampai kepada rakyat,” katanya kepada pemberita.
Dia dan suami, Yap Seng Lai, 62 ditemui pada program menampal pelekat kod QR Kampung Digital di rumahnya yang telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah dan lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Mei Ling dan keluarganya meluahkan rasa terharu dan bangga apabila Ketua Menteri sendiri telah hadir untuk menampal pelekat inisiatif Kampung Digital tersebut di kediaman mereka bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) DUN Kuala Linggi.
saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.