Sorting by

×

Alahai!… sampai terlelap tunggu pelanggan singgah membeli

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

MELAKA 3 Mac. – “Jika sebelum ini boleh dikatakan tidak menang tangan melayan pelanggan, namun kini sampai terlelap dibuatnya menunggu pelanggan singgah membeli.

“Walaupun begitu saya tetap cekalkan hati untuk terus membuka kedai dan berniaga seperti biasa dengan harapan akan ada barangan yang terjual,” luah peniaga Aini Abd Majid, 62.

Menurutnya, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada 13 Januari, peniaga kecil khususnya yang menjual produk tempatan seperti belacan, cencaluk, ikan masin dan dodol di sekitar Kampung Pinang, Batang Tiga, di sini, terjejas.

AINI…dulu tidak menang tangan layan pelanggan, kini jika dapat RM20 hingga RM30 sehari pun sudah begitu besar dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.

Ujarnya yang sudah berniaga lebih 30 tahun, walaupun situasi ini perit namun dia tetap berniaga seperti biasa bagi menghabiskan stok barangan bagi mengelakkan menanggung kerugian.

“Boleh dikatakan pelanggan kami di sini kebanyakannya pelancong luar seperti dari Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur datang membeli cencaluk, belacan sebagai buah tangan untuk dibawa balik namun kini tiada lagi kelibat orang luar.

“Walaupun begitu mujur ada penduduk setempat dan mereka yang tinggal berdekatan singgah membeli. Kalau sehari boleh dapat antara RM20 hingga RM30 sehari ia begitu besar nilainya,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Junaidah Maarof, 43, turut meluahkan rasa sama, apabila pendapatannya turut terjejas ekoran larangan rentas negeri.

Katanya, walaupun ada antara stok yang boleh disimpan lama, namun ada juga produk seperti kerepek dan dodol perlu dihabiskan… jika dibiarkan lama ianya akan rosak.

“Produk jualan seperti cencaluk, belacan dan ikan masin boleh disimpan lama sekiranya disimpan dengan betul. Buat waktu ini untuk menambah bekalan stok juga perlu difikirkan tidak seperti dulu.

“Untuk mengelak daripada menanggung kerugian, stok yang diambil hanya dalam kuantiti yang sedikit dan kami peniaga kini bergantung kepada pelanggan setempat, walaupun ada harinya hanya sebotol cencaluk atau sebungkus belacan yang dijual, ia amat mengembirakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

769
Kongsi :
Previous post Pelajar dari keluarga B40 terima bantuan cermin mata
Next post Parlimen tangguh atas faktor perundangan, sains dan data COVID-19
Ubah saiz-+=