Al Jufferi tekad buru emas keempat Kejuaran Silat Dunia sebelum bersara

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Bergelut dengan kecederaan bahu kanan sejak Mei lepas tidak mematahkan semangat jaguh silat negara Mohd Al Jufferi Jamari yang optimis mempertahankan pingat emas Kejuaraan Silat Dunia, yang akan bermula Selasa depan di Ayer Keroh, Melaka.

Pesilat berusia 30 tahun itu yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk bersara akan membuat penampilan keempat di pentas berprestij itu, tekad menutup kerjayanya dengan mencipta kenangan manis bagi mendedikasikan pingat emas terakhir kepada tanah air tercinta.

Mohd Al Jufferi yang sebelum ini menunjukkan prestasi cemerlang muncul juara edisi 2012, 2015 dan 2016 bagi acara kelas Putra E (65-70 kilogram) melakar sejarah sebagai pesilat pertama negara memenangi hatrik emas Kejuaraan Dunia itu sejak ia dianjurkan pada 1982.

“Kondisi badan saya sekarang sekitar 80 peratus, ketika latihan semalam juga bahu ada terkeluar sedikit, oleh itu kena buat pembedahan kalau tidak mahu jadi ‘frozen shoulder’ atau bahu kaku. Namun, saya dah bincang dengan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan buat keputusan untuk teruskan.

“Kesakitan itu tidak mematahkan semangat dan keyakinan saya untuk beraksi cemerlang sebab saya memang dilahirkan sebagai atlet yang perlu terus berjuang dalam apa jua keadaan,” katanya kepada pemberita semalam.

Mohd Al Jufferi yang turut meraih empat pingat emas Sukan SEA berturut-turut bermula 2011 hingga 2017, berkata kecederaan dan kesakitan bahu tahap serius adalah antara risiko yang perlu dihadapi, namun strategi dan teknik berhadapan pihak lawan sudah dibincangkan bersama barisan kejurulatihan sekiranya perkara berkenaan berulang.

Dalam pada itu, beliau turut memberi bayangan memerlukan rehat yang panjang selepas persaraannya bagi memberi ruang kepada rehabilitasi kecederaan sepanjang 15 tahun kerjayanya dalam dunia persilatan dan memberi tumpuan kepada keluarga.

“Saya juga perlu rehat yang lama sedikit selepas bersara sebab dalam keadaan anak saya sekarang (menghidap kanser) yang memerlukan kehadiran seorang ayah jadi saya mahu berada di samping keluarga,” katanya.

Beliau juga menasihati atlet silat muda negara untuk meningkatkan tahap mental terutamanya apabila berada dalam dunia pertempuran yang memerlukan semangat juang tinggi bagi terus menyumbang pingat untuk tanah air tercinta.

Edisi kali ini yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka bermula pada 26 hingga 31 Julai ini akan menyaksikan Mohd Al Jufferi beraksi dalam Kelas F (70-75 kilogram).

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1038
Kongsi :
Previous post Wanita mirip Zalina muncul di kafe adalah gelandangan – Polis
Next post Nahas empat beranak: Pemandu treler mengaku tidak bersalah
Ubah saiz-+=