‘AL FATEH TUNGGU MOMMY DEKAT SYURGA YA..’
REMBIA 7 September – “Al Fateh, tunggu mommy dekat syurga ya..”
Itu bisikan terakhir diberikan Sabrina Hakiem Zaini, 39, ibu kepada Muhammad Al Fateh Amri, lapan bulan yang meninggal dunia ketika berada dalam jagaan pengasuh di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama, di sini, semalam.
Kata-kata terakhir itu diberikannya ketika dipanggil membacakan kalimah syahadah di wad kecemasan Hospital Alor Gajah.
Kisah itu diceritakan kepada Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin yang menziarahi keluarga berkenaan di kediaman mereka di Taman Kelemak Utama, di sini, hari ini.
Menurut Sabrina, dia terkejut apabila dihubungi pihak taska mengatakan wajah bayinya sudah bertukar kebiruan kira-kira jam 9 pagi dan segera bergegas ke taska berkenaan yang terletak di belakang rumahnya.
“Ketika saya pegang, badan Al Fateh sudah terkulai, sejuk dan darah keluar dari hidung. Mereka beri anak saya dan suruh segera ke klinik.
“Tetapi saya terus ke hospital dan di hospital penyelia taska ada datang dan saya tanya kenapa dengan anak saya? Dia hanya kata bayi menyusu dan tidur kemudian (bertukar) biru),” katanya kepada Kalsom.
Sementara itu, suaminya, Mejar Ir. Ts. Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, mendakwa selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dia bertanya kepada pengasuh kenapa diletakkan bantal selepas membedung anaknya.
“Pengasuh hanya diam dan kemudian menangis dan mengaku salah. Saya kata kepadanya, ini kau nak bunuh, selepas itu terus dia mengaku salah,” katanya.
Semalam, media melaporkan seorang bayi berusia 8 bulan ditemui tidak sedarkan diri di taska berkenaan kira-kira jam 9 pagi.
Susulan itu, seorang wanita berusia 34 tahun yang juga ibu kepada tiga anak direman selama tujuh hari sehingga 13 September, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.