Akur sambut Deepavali dalam PKPB
PAYA RUMPUT 9 Nov. – “Sedih memang sedih, tapi nak buat macam mana? Nyawa dan kesihatan lebih penting.”
Itu luahan seorang suri rumah, P. Eva, 49, susulan terpaksa menyambut perayaan Deepavali tahun ini dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Dia yang berasal dari Cheng berkata, walaupun kebiasaannya dia dan keluarga berbelanja besar sepanjang musim perayaan namun, suasana tahun ini jauh berbeza yang mana perbelanjaannya lebih ala kadar.
“Persiapan kita memang biasa-biasa sahaja. Tak adalah nak masak lebih-lebih seperti tahun sebelum ini. Keluarga dan kawan-kawan pun mungkin tak dapat datang sebab tak boleh rentas daerah kan.
“Tipulah kalau kata tak sedih sebab tak dapat berkumpul bersama, tetapi apa yang penting sekarang ialah kesihatan semua di seluruh negara,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini.
Nada sama turut diluahkan R. Panichelvam, 55, yang mengakui suasana perayaan tahun ini jauh berbeza apabila buat pertama kalinya tidak dapat berkumpul beramai-ramai bersama keluarga dan saudara-mara.
Jelasnya, kebiasaannya, dia dan keluarga akan menjelajah ke serata negeri untuk meraikan pesta cahaya, namun tahun ini dia terpaksa memilih untuk duduk di rumah.
“Persiapan kami sekeluarga memang sangat sederhana. Kami pun hanya keluar sekali sahaja untuk beli semua yang diperlukan dan selepas ini kami tidak akan keluar membeli-belah lagi.
“Disebabkan COVID-19, saya akur dengan keputusan kerajaan kerana saya juga ada anak dan cucu-cucu yang perlu dijaga. Jadi, kita terima seadanya walaupun terdetik sedikit rasa sedih,” katanya.