
Aktiviti ziarah cetus kluster COVID-19 di Kuala Sungai Baru
AYER KEROH 13 Julai – Melaka merekodkan pertambahan dua kluster baharu COVID-19 membabitkan komuniti dan tempat kerja, hari ini.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM) di laman Facebook, kluster pertama membabitkan komuniti dikenali sebagai Kluster Kuala Permai yang tercetus daripada aktiviti kunjung-mengunjung di Taman Kuala Permai, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah.
Kes indeks ialah seorang lelaki berusia 59 tahun yang bergejala pada 25 Jun dan dikesan positif pada 1 Julai.
“Sehingga kini seramai 119 kontak rapat dikenal pasti dan daripada jumlah itu 34 disahkan positif COVID-19,” kata kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, KKM turut memaklumkan satu lagi kluster membabitkan dua kilang di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh yang dikenali sebagai Kluster Jalan Usaha Lima.
Kes indeks ialah seorang pekerja asing warganegara Nepal berusia 31 tahun yang mula bergejala pada 29 Jun dan disahkan positif pada 4 Julai.
Seramai 214 kontak rapat telah dikenal pasti daripada kluster berkenaan dan sehingga kini seramai 26 individu disahkan positif COVID-19.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.