Aktiviti tambakan laut elak isu pembangunan milikan tanah – KM
SERI NEGERI 22 Sept. – Kerajaan negeri menyasarkan aktiviti penambakan laut dijadikan kawasan pembangunan baharu bagi memenuhi permintaan terhadap tanah untuk tujuan pembangunan yang semakin tinggi.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, melalui perancangan pembangunan tebus guna tambakan laut, gangguan kepada pembangunan milikan tanah sedia ada sama ada dimiliki pihak swasta atau individu tidak akan berlaku.
“Keprihatinan kerajaan negeri terhadap pemilikan tanah rakyat atau individu dan lain-lain yang terhad ini merupakan faktor utama mengapa fokus rangsangan pembangunan diberikan kepada industri tambakan laut yang baharu.
“Antara lain, tambakan laut dilihat sebagai keputusan yang lebih ekonomi berbanding dengan perolehan tanah mengikut pasaran serta dapat mengelakkan isu-isu pemilikan tanah milik warga tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi pembentangan usul ‘Enakmen Perbadanan Zon Ekonomi Pesisiran Pantai Melaka 2021’ selepas Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Keempat Belas, hari ini.
Jelasnya, nisbah plot pembangunan di zon tambakan ialah bersamaan satu nisbah enam juga menjadikan zon komersial pesisiran pantai tersebut bernilai tinggi.
“Kawasan tambakan pesisir pantai merupakan pembangunan berimpak tinggi yang mempunyai nilai tambah kepada Negeri Melaka disebabkan kedudukannya dan juga akses kepada kawasan laut.
“Di samping itu, pembangunan baharu di kawasan tambak laut ini akan bertindak sebagai pemangkin ekonomi negeri.
“Dan secara tidak langsung menyumbang kepada pertambahan hasil kerajaan negeri serta meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Melaka,” katanya.
Ujarnya, pembangunan itu juga meningkatkan ekonomi negeri kepada koridor ekonomi baharu pesisiran pantai Melaka yang berimpak tinggi.
“Ia termasuk eksplorasi terhadap aktiviti maritim dan perdagangan pelabuhan yang sememangnya cukup sinonim dengan Melaka.
“Perairan Selat Melaka yang merupakan salah satu Pintu Masuk Antarabangsa antara Indonesia dan Malaysia berpotensi tinggi untuk menjadikan Negeri Melaka sebagai destinasi pelancongan utama khususnya bagi aktiviti Kapal Persiaran (Cruise) dan pelabuhan.
“Kawasan pembangunan Zon Ekonomi Persisir Pantai Melaka (M-WEZ) yang bersebelahan dengan tapak warisan dunia UNESCO dan Sungai Melaka sekaligus mengangkat dan memperkukuh produk-produk pelancongan di Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.